Anda di sini

PJS cadang tubuh pusat latihan judo di Miri

Advertisement

KUCHING: Persatuan Judo Sarawak (PJS) bercadang untuk menubuhkan pusat latihan di Miri dalam usaha mencungkil lebih ramai atlet baharu.

Presidennya Francis Chan berkata ketika ini kurang dari 20 atlet menjalani latihan di pusat latihan yang terletak di Jalan Pending dan kesemua mereka merupakan pelajar Sekolah Chung Hua No.1.

“Untuk membangunkan sukan judo di Sarawak, kita perlu menubuhkan lebih ban­yak pusat latihan terutama di kawasan bandar,” katanya se­lepas menerima tajaan berupa pakaian judo dan 45 keping ‘tatami’ (tikar lantai) daripada Persatuan Jepun-Malaysia malam kelmarin.

Pengarah Eksekutif Per­satuan Jepun-Malaysia Arai Takuji dan koordinator per­satuan di Sarawak Kazue Sakai menyerahkan tajaan tersebut kepada Francis.

“Ini adalah permulaan baik bagi PJS pada tahun ini dan kita berharap melalui tajaan ini persatuan dapat melantik lebih ramai jurulatih un­tuk mengadakan klinik dan berkongsi pengalaman den­gan atlet muda,” ujarnya.

Menurut Francis, judo menjadi salah satu acara yang akan dipertandingkan pada SUKMA 2016 di Sarawak.

Sehubungan itu, beliau menegaskan agar lebih ban­yak pusat latihan judo ditu­buhkan di sini.

“Sumbangan Persatuan Jepun-Malaysia ini tepat pada waktunya memandangkan persatuan amat memerlukan ‘tatami’ untuk menubuhkan pusat latihan tersebut.

“Kita juga yakin untuk mendapatkan jurulatih yang akan ditempatkan di Miri,” katanya sambil menambah peralatan tersebut akan mem­bantu mengembangkan judo di Sarawak.

Anggaran harga bagi satu set pakaian judo adalah RM200 manakala sekeping ‘tatami’ bernilai RM700.

Sementara itu, Arai berkata Persatuan Jepun-Malaysia merupakan organisasi bukan kerajaan dan setiap tahun sejak 1995 mereka telah menghantar sukarelawan ke Sarawak.

“Sebelum ini, kita telah mengadakan projek menanam pokok di Gunung Apeng, Serian dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sarawak, Unimas dan penduduk kam­pung di sana,” katanya.

Pada Ogos lepas, salah se­orang sukarelawan mereka Kawamoto Hiroshi yang be­rasal dari Hiroshima berminat untuk mempelajari teknik judo tempatan (dojo).

Beliau yang juga merupa­kan jurulatih judo dan guru diperkenalkan kepada Fran­cis oleh Kazue.

Kawamoto melahirkan rasa kagum dengan semangat yang ditunjukkan atlet tempatan untuk mempelajari judo dan beliaulah yang memberi ca­dangan agar ‘tatami’ di pusat latihan Jalan Pending ditukar kerana sudah rosak.

Tersentuh dengan seman­gat atlet muda di sini, Ka­wamoto kembali ke Jepun un­tuk membeli ‘tatami’ baharu dan terpakai serta pakaian judo untuk disumbangkan kepada PJS.

“Ini adalah kali pertama kita menaja peralatan judo kepada persatuan dan ia akan berterusan,” menurut Arai.

Katanya, anak murid Ka­wamoto, Hiraoka berjaya meraih perak pada Sukan Ol­impik London pada 2012.

Selain itu, Kawamoto juga dijangka akan kembali men­gadakan klinik judo di sini pada Ogos nanti.

Advertisement