Anda di sini

Kakitangan MIS, JAIS perlu komited, berintegriti

Advertisement

KUCHING: Pegawai dan kakitangan Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) harus komited dan penuh berintegriti melaksanakan tugas serta tanggungawab berlandaskan undang-undang syariah dan ajaran Islam.

Yang Dipertua MIS Datu Putit Matzen berkata, tugas serta tanggungjawab dipikul dua agensi itu amat berat dan penting dalam menjaga kesucian agama yang menuntut komitmen serta integriti tinggi.

“Elemen-elemen ini adalah kayu pengukur sebenar pencapaian dan kuantum imbuhan anda,” ujarnya ketika berucap pada Hari Integriti MIS dan JAIS sekali gus melancarkan e-Munakahat di sini, semalam.

e-Munakahat adalah laman sesawang bagi masyarakat Islam mengemukakan permohonan secara atas talian.

Putit berkata, selain komited dan penuh berintegriti pegawai serta kakitangan kedua-dua agensi itu perlu sentiasa mencari keputusan terbaik dan melakar kejayaan.

Beliau menambah, mengingati sahaja elemen-elemen itu tidak mencukupi, sebaliknya ia mesti dihayati dan difahami dengan mendalam.

“Banyak kesan buruk akan berlaku jika kita mengambil mudah aspek integriti.

Justeru, saya mahu mengingatkan warga MIS dan JAIS termasuk saya sendiri, harus jujur dan jika mahu berjaya anda boleh membantu pembangunan modal insan dengan membangunkan organisasi yang penuh kepercayaan dan keyakinan,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, warga kedua-dua agensi Islam itu mesti boleh membina dinding perisai bagi melindungi integriti mereka, malah seharusnya ada langkah-langkah pencegahan.

Beliau berkata, antara langkah yang boleh diambil untuk menghalang seseorang memesongkan kepercayaan diberikan kepada mereka ialah sentiasa menjaga kesihatan, proaktif, berpengetahuan, berkemahiran, mahir dan serius.

Hadir sama Pengarah JAIS Negeri Ismail Mohd Hanis, Mufti Negeri Sarawak Kipli Yassin, Ketua Hakim Mahkamah Syariah Sarawak Datu Muhamed Ali Mohamed Sheriff, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Datu Abang Mohd Shibli Mohd Nailie, Imam Besar Negeri Sarawak Sahibul Fadillah Suhaili dan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Abdul Aziz Jusoh.

 

Advertisement