Anda di sini

Jangan perjudi nasib dengan menolak BN

Advertisement

MIRI: Penduduk di konstituensi Lambir, dekat sini dinasihati supaya tidak memperjudikan masa depan mereka dengan menolak kerajaan sedia ada, memandangkan Barisan Nasional (BN) akan terus merancang dan membawa pembangunan ke kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat berkata, apa jua isu yang terjadi atau timbul dapat diselesaikan dengan menyalurkan masalah tersebut kepada ketua kaum atau tuai rumah mereka, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Biro Wanita.

“Konstituensi Lambir telah membangun dengan pantas di bawah kepimpinan kerajaan BN dan sehubungan itu penduduk di sini perlu sedar dengan perubahan tersebut serta bersyukur dengan nikmat yang diperolehi,” ujar Ripin ketika menghadiri sesi bertemu rakyat di Rumah Insin, Ulu Sibuti, dekat sini, semalam.

Justeru katanya, bagi memastikan kestabilan dan perpaduan kukuh di kalangan penduduk kampung dan rumah panjang terus terjalin, maka mereka perlu mengelak daripada menimbulkan sebarang perselisihan faham.

“Perselisihan faham yang timbul boleh mengakibatkan hubungan sesama penduduk retak dan seterusnya boleh menyumbang kepada perpecahan,” katanya.

Ripin memberitahu, jika berlaku perpecahan di kalangan penduduk di rumah panjang mahupun kampung, ia boleh mengakibatkan pembangunan yang dirancang terbantut dan tidak sampai kepada rakyat.

Justeru katanya, mereka perlu bersatu dan bekerjasama sebagai sebuah pasukan untuk mengatasi setiap masalah yang mendatang dalam semangat perpaduan dan persaudaraan.

Menurut Ripin lagi, untuk itu penduduk perlu mengekalkan semangat perpaduan tersebut termasuk mengadakan gotong-royong secara berterusan kerana hanya melalui perpaduan maka mereka dapat membawa kemajuan dan pembangunan ke kawasan mereka.

Oleh yang demikian katanya, kerajaan sentiasa meletakkan perpaduan di tangga teratas.

Sehubungan itu Ripin turut menasihati golongan muda khususnya di luar bandar supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan dan hasutan yang dibuat oleh pihak pembangkang menerusi blog, Internet dan media sosial, kerana ia sebahagian daripada taktik mereka untuk mendapatkan sokongan generasi muda.

“Sebaliknya, kerajaan sentiasa melakukan usaha untuk menyediakan kemudahan, meningkatkan infrastruktur dan pelbagai keperluan lain, tidak seperti pembangkang yang hanya tahu menyalahkan kerajaan dan pihak berkuasa,” katanya.

Ripin yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri berkata, gelombang pembangunan kedua yang diumumkan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan projek mega SCORE akan mengangkat taraf hidup dan standard ekonomi rakyat.

Sehubungan itu beliau menggesa penduduk rumah panjang supaya turut serta merebut peluang pekerjaan serta perniagaan yang ditawarkan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk, khususnya di luar bandar.

“Jangan jadi pemerhati semata- mata, sebaliknya samasama turut serta dalam arus pembangunan yang dibawa oleh kerajaan,” tambahnya.

Bagi generasi tua, beliau meminta mereka menceritakan kisah-kisah kesukaran yang dialami semasa mereka masih muda dan dalam keadaan belum membangun seperti hari ini, kerana ia dapat membantu menyedar dan mengingatkan golongan muda betapa pembangunan yang dibawa oleh kerajaan hari ini adalah demi rakyat dan dilaksanakan dengan tulus ikhlas.

Oleh itu kata Ripin, amat penting bagi sebuah negeri dan negara memiliki sebuah kerajaan yang stabil dan ekonomi yang kukuh untuk membangunkan rakyat dan negaranya.

 

Advertisement