Anda di sini

CWC diminta menarik balik pemecatan Wong

Advertisement

KUCHING: Tiga cawangan kecil Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) iaitu Senah, Teng Bukap dan Beratok meminta Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) menarik balik keputusan memecat Dato Sri Wong Soon Koh daripada parti.

Selain Wong, Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin dan Setiausaha Agung Dr Sim Kui Hian turut diminta meng­gugurkan keputusan yang dicapai pada 7 Januari lalu terhadap empat anggota lain.

Malah tiga cawangan kecil yang terletak di bawah Cawangan SUPP Tarat itu mempersoalkan kesahihan pemecatan itu susulan dakwaan Cawangan Bekenu dan Piasau di­batalkan pendaftaran oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti yang diuar-uarkan di beberapa akh­bar semalam.

Bekenu dipengerusikan sendiri oleh Chin manakala Piasau diketuai Datuk Sebastian Ting.

Dua cawangan itu menerima surat pembatalan pendaftaran ekoran per­jalanan mesyuarat agung cawangan yang tidak menepati syarat pertubu­han pada 2011.

“Jika proses pemilihan Cawangan Bekenu tidak dijalankan dengan sempurna, itu bermakna Tan Sri Peter Chin hilang legitimasi sebagai presiden yang dipilih kerasa status­nya sebagai delegasi (pada TDC) dipersoalkan,” kata tiga cawangan kecil itu menerusi kenyataan akhbar semalam.

Justeru, mereka berpendapat keputusan pemecatan Wong dan empat yang lain pada malam Selasa lepas adalah tidak sah.

Mereka berkata lagi, jika Persidan­gan Perwakilan Tritahunan (TDC) diadakan pada tahun ini, adalah mustahak ia diadakan dengan telus dan adil manakala prosedur dan perincian pemilihan wajar dibin­cangkan bersama dengan kumpulan diketuai Wong.

“Kami mendapat tahu manipulasi dalam pengendalian pemilihan parti pada 2011, dan kami mendesak pucuk pimpinan SUPP menjelaskan kandungan surat ROS kepada Ibu Pejabat SUPP pada 7 Januari,” kata kenyataan itu.

Advertisement