
GIGIH: Pemain Sarawak terus giat menjalani latihan sebagai persediaan terakhir menghadapi musim baharu Liga-M yang akan bermula pada 18 Januari depan.
KUCHING: Bermula musim ini, mana-mana penyokong Ngap Sayot yang ditangkap membakar suar atau mercun ketika menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Malaysia (Liga-M) akan disenarai hitam dan dilarang memasuki Stadium Negeri.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datu Mohammad Abu Bakar Marzuki berkata pihaknya terpaksa mengambil langkah tersebut kerana persatuan menanggung banyak kerugian pada musim lalu akibat didenda ekoran sikap tidak bertanggungjawab segelintir penyokong.
“FAS tidak akan teragak-agak menyenaraihitamkan penyokong yang masih berdegil membakar suar atau mercun ketika menonton perlawanan bola sepak di stadium.
“Kami memandang serius perkara ini kerana sikap tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja membahayakan penyokong lain malah mendatangkan banyak kerugian kepada persatuan,” katanya.
Menurutnya, FAS telah menanggung kerugian sebanyak RM200,000 pada dua musim lalu semata-mata untuk membayar denda akibat pembakaran suar dan mercun di dalam stadium.
“Bayangkan pada setiap perlawanan persatuan terpaksa membayar sejumlah RM30,000 hingga RM40,000. Alangkah baiknya jika wang itu digunakan untuk membeli pemain baharu bagi memantapkan pasukan kita,” ujarnya.
Sehubungan itu, Abu Bakar berharap para penyokong memberikan kerjasama dan tidak melakukan perkara yang boleh mengundang masalah kepada persatuan dan diri mereka sendiri.
Dalam pada itu, Sarawak akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang KL SPA FC pada Sabtu ini (11 Januari) jam 8.15 malam di Stadium Negeri.
Ia merupakan perlawanan ujian terakhir Sarawak sebelum mereka memulakan saingan Liga Super 2014 menentang ATM pada 18 Januari ini di Stadium Selayang.
Tiket untuk perlawanan persahabatan tersebut akan dijual pada harga RM10 (teres terbuka) dan RM15 (teres tertutup) di Lea Sports Centre, Wisma Hopoh dan Stadium Negeri.