Anda di sini

Perlis pantau harga barangan berterusan

Advertisement

KANGAR: Kerajaan negeri Perlis membuat pemantauan harga secara berterusan bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga melampau terutama barangan keperluan harian.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sabry Ahmad berkata kerajaan negeri mengarahkan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perlis membuat pemantauan itu termasuk di pasar harian, pasar minggu dan pasar malam.

“Pemantauan yang dibuat setakat ini mendapati keadaan terkawal dan tidak berlaku banyak perubahan kenaikan harga terutama barangan keperluan asas,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan harga barangan di Pasar Minggu Arau dekat sini semalam.

Turut hadir Pengarah PPDNKK Perlis Khairul Amin Talib dan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Perlis Mohd Khir Mohd Sham.

Katanya, sehingga bulan ini didapati 20 daripada 400 item barangan yang dikawal mengalami perubahan purata harga melebihi 10 peratus, bagaimanapun keadaan keseluruhan adalah terkawal.

Sabry berkata antara punca kenaikan itu, permintaan meningkat daripada pengguna, kekurangan bekalan terutama ikan berpunca laut bergelora dan kenaikan harga modal oleh pemborong.

Beliau berpuas hati purata harga ikan yang kembali normal apabila dijual pada harga antara RM5 dan RM6 sekilogram bagi ikan kembung berbanding beberapa hari lepas meningkat hingga RM14 sekilogram.

Bagaimanapun Sabry meminta orang ramai terus memberi maklumat kepada PPDNKK Perlis jika mendapati ada peniaga menaikkan harga barangan jualan mereka secara keterlaluan. — Bernama

Advertisement