Anda di sini

Limbang meraikan kejayaan pemain bola tampar di peringkat kebangsaan

Advertisement

LIMBANG: Selepas men­empa nama dalam sukan bola sepak, Limbang terus cemerlang apabila tiga pe­mainnya mengharumkan nama Sarawak yang muncul juara Kejohanan Bola Tam­par Terbuka Kategori 14 dan 16 tahun Ke Bawah Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Taiping Perak, bulan lepas.

Kejayaan tiga anak muda tersebut, Lum Ka Hoe, 14, Lau Yun Hing, 14, dan Moses Chua Seng Lok, 16, daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbang membuktikan daerah ini satu lagi lubuk emas yang melahirkan ramai atlet berwibawa bukan sahaja dalam bola sepak tetapi juga dalam sukan-sukan lain.

Kepulangan wira-wira Limbang yang menjuarai kejohanan itu dirai pada satu majlis makan malam anjuran Persatuan Bola Tampar Limbang (LVA) di sini, malam kelmarin.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata, kemenangan tersebut amat bermakna kerana disertai anak-anak Limbang yang mempunyai kebolehan dan potensi tersendiri hingga terpilih sebagai wakil Sarawak untuk kejohanan berprestij itu.

“Limbang sememangnya mempunyai ramai pemain berbakat untukdiketengahkan di peringkat lebih tinggi pada masa depan.

“Pencapaian ini penting bagi melahirkan pemain pelapis dalam meneruskan kesinambungan pemain veteran untuk ditonjolkan bakatnya secara berterusan,” katanya.

Hadir sama Presiden LVA Dato Wong Sii Chong, Pengerusi LVA Wong Ching Choon, Pegawai Pelajaran Daerah Limbang (PPD) Mohamad Tangah, Timbalan PPD Annuar Naim dan ahli jawatankuasa LVA.

Hasbi berkata, kejayaan tidak akan datang bergolek sebaliknya perlu diiringi dengan kerja keras, latihan berterusan, kecergasan fizikal serta dibimbing oleh jurulatih yang baik.

Katanya, setiap persatuan sukan perlu mempunyai perancangan terbaik untuk mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang sukan.

Jelasnya, sebelum ini Bahagian Limbang juga sudah mempunyai ayam tambatan peringkat kebangsaan yang bukan sahaja beraksi dalam pasukan Harimau Malaya, malah mampu mencipta jaringan pada sukan SEA 2013 di Myanmar, baru-baru ini.

Sebelum ini, Limbang mendapat tempat ketiga dalam Kejohanan Bola Keranjang Peringkat Negeri dan tiga pemain di sini terpilih untuk mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan pada kejohanan tersebut.

Advertisement