Anda di sini

Lebih 60,000 premis perniagaan bakal diperiksa di Pahang

Advertisement

KUANTAN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang mempergiat pemeriksaan dan pemantauan di premis perniagaan menerusi Ops Harga bagi memastikan harga barangan tidak dinaikkan sewenang-wenangnya.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNKK Pahang Abdul Kadir Aljailani Mohamad Shariff berkata menerusi operasi itu, pihaknya menyasar lebih 60,000 premis perniagaan di Pahang akan diperiksa sepanjang tahun ini.

“Bermula 1 Jan sehingga semalam, kita melakukan pemeriksaan terhadap 4,112 premis perniagaan dalam Ops Harga di sekitar Pahang,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Ops Harga di beberapa premis perniagaan di sekitar bandar ini semalam.

Daripada pemeriksaan itu, seramai 10 peniaga dikesan tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual.

“Kompaun bernilai RM1,312.50 dikeluarkan dan selain rampasan barangan bernilai RM5,400,” katanya.

Abdul Kadir berkata setakat ini, pihaknya masih belum menerima laporan mengenai kenaikan harga barangan melampau.

Berdasarkan pemantauan, katanya PPDNKK Pahang mendapati harga barangan di Pahang tidak menunjukkan peningkatan ketara.

Kegagalan meletakkan tanda harga boleh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun bagi perseorangan manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000. — Bernama

Advertisement