Anda di sini

JPAM terima enam ambulans baharu

Advertisement

Mulliadi memeriksa aset ambulans JPAM baharu dalam satu majlis di UMS kelmarin.

KOTA KINABALU: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sabah bakal mendapat suntikan positif bagi menguatkan operasi perkhidmatannya di negeri ini menerusi penerimaan enam ambulans yang baharu.

Pengarah JPAM negeri Leftenan Kolonel (PA) Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata, menerusi penerimaan aset-aset berkenaan, ianya akan memupuk perkhidmatan berkualiti selain menyuntik semangat setiap anggota dalam menjalankan tugas harian.

Menurutnya, pengagihan ambulans itu akan membabitkan perkhidmatan JPAM di Wilayah Persekutuan Labuan, Kota Kinabalu, Beaufort, Tuaran, Kota Marudu dan Keningau.

“Kehadiran ambulans-ambulans ini adalah bertujuan menambah kekuatan serta skop operasi JPAM di Sabah dan Labuan.

“Aset (ambulans) terbabit akan mula diagihkan ke kawasan-kawasan yang terlibat pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan ambulans baharu JPAM di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, kelmarin.

Mengulas lanjut mengenai aspek perkhidmatan jabatan itu, Mulliadi berkata JPAM cawangan Kota Kinabalu dan Labuan akan beroperasi selama 24 jam mulai 3 Februari depan.

“Manakala empat daerah iaitu Tuaran, Kota Marudu, Keningau dan Beaufort akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Langkah ini diambil sebagai tindakan susulan kesiapsiagaan JPAM untuk membantu masyarakat ramai yang berhadapan sebarang insiden kecemasan atau kesulitan,” katanya.

Mulliadi berkata, orang ramai boleh boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) JPAM sekiranya menghadapi sebarang kecemasan iaitu Kota Kinabalu (088-232453, 232440), Sandakan (089-672586), Tawau (089-749046), Beaufort (087-221952), Lahad Datu (089-880991), Kota Marudu (088-661655), Keningau (087-339161) dan Pitas (088-615655), atau terus menghubungi talian kecemasan 999.

 

Advertisement