Anda di sini

ISDEV dan DBP lancar 12 buku pembangunan Islam

Advertisement

GEORGE TOWN: Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam melancarkan 12 buku bertema pembangunan Islam bagi mengupas persoalan berkaitan ekonomi, politik dan sosial berteras tuntutan syarak.

Pengarah ISDEV Prof Muhammad Syukri Salleh berkata penerbitan buku itu diharap dapat menyumbang kepada perkembangan ilmu masyarakat dengan adanya penerapan nilai Islam yang dikupas dari sudut pemikiran alternatif yang segar.

“Ini kali pertama kita bekerjasama dengan DBP menerbitkan karya sebegini dan ia hasil perahan idea pensyarah kita khusus untuk masyarakat yang memerlukanbahan bacaan berteras agama sesuai dengan keadaan semasa,” katanya kepadapemberita selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu 2014 Naib Canselor USM Prof Datuk Omar Osman di sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.

Antara buku berkenaan ialah Ukuran Pembangunan: Pendekatan Kapitalis dan Islamik, Konsep Pengurusan Pembangunan Berteras Islam, Urus Harta Urus Iman, Hutang Pembangunan Ekonomi Negara Islam, Usahawan Mikro Keberhutangan Melampau dan Penerapan Kaedah Pengumpulan Hadis Dalam Penyelidikan. — Bernama

Advertisement