Anda di sini

Insiden remaja wanita cedera di Suria Sabah, Isnin lepas – Polis sedang kenal pasti motif

Advertisement

KOTA KINABALU: Polis melakukan siasatan dan sedang mengenal pasti motif sebenar berhubung insiden seorang remaja wanita yang cedera dipercayai disamun di Suria Sabah baru-baru ini.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata mangsa yang berusia 19 tahun itu telah membuat laporan di sini pada lewat petang Selasa lepas ekoran kejadian berkenaan.

Dipercayai dalam insiden berlaku Isnin lepas kira-kira jam 7.10 petang di tingkat bawah pusat beli belah itu, mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian tangan dan paha selepas cubaan samun oleh suspek yang tidak dikenali.

“Mangsa telah membuat laporan polis kira-kira jam 6 petang Selasa lalu berhubung insiden terbabit.

“Setakat ini kita sedang melakukan siasatan dan mengenal pasti motif sebenar kejadian itu,” katanya.

Jauteh berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan untuk segera tampil membantu siasatan,” katanya.

Advertisement