Anda di sini

FAMA sedia jaya program jimat belanja dapur di Kuching

Advertisement

KUCHING: Pasar Tani MJC di Batu Kawa dan Pasar Tani Matang Jaya, dua pasar tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Kuching, bakal terus menjadi tumpuan ramai susulan pengumuman tentang program jimat belanja dapur semalam.

Sejumlah 282 peniaga sedia ada di dua pasar tersebut, masing-masing 240 peniaga di Pasar Tani MJC, Batu Kawa dan 42 peniaga di Pasar Tani Matang Jaya, secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan mereka hasil inisiatif kerajaan mengurangkan bebanan rakyat itu.

Penolong Pengarah Pembangunan Pemasaran FAMA Adeyong Tomick berkata, pada dasarnya FAMA Negeri sudah bersedia untuk menjayakan program tersebut selepas kejayaan program yang sama pada tahun lalu.

“Program sama yang diadakan pada tahun lalu mendapat kerjasama baik daripada peniaga dan sambutan baik para pengguna. Kami jangka hasil kejayaan penganjuran program pada tahun lalu, melalui pengalaman itu akan melancarkan pelaksanaan pada tahun ini,” katanya kepada Bernama di Pejabat FAMA Medan Niaga Satok, semalam.

Pasar Tani MJC, Batu Kawa beroperasi setiap Khamis dan Jumaat manakala Pasar Tani Matang Jaya diadakan setiap Sabtu dan Ahad. Kedua-dua pasar tani ini mula beroperasi dari awal pagi sehingga lewat petang.

Dalam satu majlis di Putrajaya semalam, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata program jimat belanja dapur akan dilaksanakan di semua pasar tani seluruh negara melibatkan barangan komoditi kegunaan harian dengan pengurangan harga lima hingga 20 peratus.

Sementara itu, Ketua Unit Maklumat Pasaran FAMA Sarawak Amelia Mohamad Sharif berkata, terdapat beberapa proses metodologi kutipan harga panduan dibuat sebelum harga jualan dikeluarkan.

“Sebaik penentuan lokasi pasar tani yang terlibat dalam program jimat belanja dapur dibuat, kutipan harga akan dijalankan sehari sebelum program dilaksanakan dan kutipan harga diambil di sekitar kawasan program. — Bernama

Advertisement