Anda di sini

Esscom tiada kuasa perintah

Advertisement

LAHAD DATU: Persepsi rakyat bahawa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mempunyai kuasa perintah yang luas adalah kurang tepat, kata Ahli Parlimen Silam Datuk Nasrun Datu Mansur.

Beliau berkata, sebaliknya Esscom hanya mempunyai kuasa “menyelaras“ operasi pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam menjaga keselamatan rakyat Sabah, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Oleh itu, ada baiknya pihak Kerajaan Persekutuan memperjelaskan bidang kuasa Esscom yang sebenar kepada masyarakat demi kebaikan bersama.

“Permasalahan yang berlaku di kawasan Esszone baru-baru ini, misalnya dalam kes penculikan yang berlaku di Pulau Pom-pom, rata-rata reaksi rakyat Sabah termasuk melalui laman social Facebook lebih menjurus menuding jari kepada Esscom dan ketua pengarahnya…seolah-olah Esscom mempunyai kuasa perintah yang luas,” katanya kepada pemberita, di sini, kelmarin.

Minggu lepas, aktivis sosial Datuk Patrick Sindu dalam kenyataannya meminta kerajaan Persekutuan, khususnya Jabatan Peguam Negara menjelaskan secara terperinci bidang kuasa Esscom, terutama berkaitan keselamatan di Esszone.

Patrick juga mencadangkan agar Peguam Negara segera mengkaji kemungkinan memberi kuasa tambahan yang sesuai kepada Ketua Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek bagi meningkatkan keberkesanan kawalan dan pemantauan keselamatan di Esszone.

Nasrun berkata, penubuhan Esscom adalah langkah bijak yang diyakini dapat menjamin keselamatan rakyat Sabah, terutama di kawasan Esszone.

Kawasan Esszone merangkumi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Merudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Penubuhan Esscom diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melawat Lahad Datu pada 7 Mac tahun lalu bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri ini susulan pencerobohan kumpulan pengganas Sulu di Kampung Tanduo pada Februari tahun lepas.

 

Advertisement