Anda di sini

Dialog, debat terbuka diusahakan SUPP Cawangan Bintulu ditunda

Advertisement

BINTULU: Dialog dan debat terbuka yang cuba diusahakan oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu dengan menjemput Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) SUPP ke Bintulu pada 11 dan 12 Januari ditunda atas sebab-sebab tertentu.

Pengerusi SUPP Cawangan Bintulu Henry Ling berkata, pihaknya telah menerima surat penundaan tarikh tersebut semalam.

Sambil tidak mendedahkan lebih lanjut sebab penundaan itu katanya, pihaknya telah menghantar surat pada 7 Januari 2014 lalu kepada pemimpin-pemimpin CWC pusat untuk mengadakan dialog dengan  SUPP cawangan di sini namun telah menerima surat balas semalam mengenai penundaan itu.

Katanya dalam surat yang dihantar pada 12 Disember dan 7 Januari lalu beliau telah menjemput semua pemimpin CWC yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) terdiri daripada Bendahari Agung Datuk David Teng Lung Chi dan Timbalan  Setiausaha Agung Matthew Chen Thin Kong untuk berdialog tentang parti itu pada 11 Januari ini.

“Saya turut membuat permintaan khusus dengan menjemput Matthew dan Presiden Tan Sri Peter Chin untuk  mengadakan debat terbuka pada 12 Januari ini berkaitan perlembagaan parti, peraturan dan prosedur jawatankuasa  disiplin pusat dan peraturan serta amalan dalam pemilihan parti untuk pejabat cawangan dan perwakilan,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Bagaimanapun katanya, mesyuarat CWC pada 7 Januari lalu dalam surat yang dikemukakan kepadanya semalam telah memutuskan untuk menunda tarikh lawatan CWC Pusat ke Cawangan Bintulu.

Advertisement