Anda di sini

DBKU rancang pelbagai aktiviti di bawah Majlis Agenda DBKU 2014

Advertisement

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) merancang pelbagai aktiviti di bawah Majlis Agenda DBKU 2014 bagi memeriahkan lagi kalendar Tahun Melamat Malaysia (TMM) tahun ini.

Datuk Bandarnya Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, majlis yang akan diadakan pada 24 hingga 26 Januari ini akan diadakan  di Esplanade Kuching.

Menurutnya pelbagai aktiviti akan diadakan antaranya ekspo pameran, bonanza makanan, gerai jualan, aktiviti sukan dan rekreasi, aktiviti hiburan dan kuiz.

“Bagi memeriahkan lagi kalendar Tahun Melawat Malaysia 2014, DBKU juga merancang pelbagai aktiviti untuk tatapan pelancong.

“Majlis Agenda DBKU 2014 akan membuka tirai aktiviti DBKU tahun ini.

“Majlis ini akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 24 Januari di Esplanade Kuching,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan DBKU di Auditorium DBKU, di sini.

Abang Abdul Wahap menambah, Majlis Agenda DBKU 2014 merupakan pelengkap kepada aktiviti-aktiviti lain yang sudah dirancang tahun ini, antaranya Pameran Kucing Sarawak 2014, Program Saya Sayangkan Bandar Raya Saya dan Pesta Gendang Etnik.

Dalam ucapannya juga beliau berkata tahun ini bakal menyaksikan DBKU berdepan pelbagai cabaran yang perlu ditangani dengan bijak serta berkesan dan memerlukan kerja secara berpasukan.

“Isu penting dihadapi DBKU ialah berusaha meningkatkan kerjasama berpasukan kerana bersatu adalah kekuatan kita dan ini sudah terbukti sejak 25 tahun apabila DBKU mendapat 88 pengiktirafan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai cabaran dihadapi DBKU, beliau berkata proses urbanisasi yang pesat di kawasan bandar raya Kuching akibat pertumbuhan jumlah penduduk dan migrasi masuk menimbulkan masalah lain seperti pencemaran alam sekitar, meningkatnya kos sara hidup dan kompetensi pengurusan bandar raya.

Pembangunan fizikal yang pesat di kawasan DBKU dalam beberapa tahun akan datang katanya, turut memberi cabaran besar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Menurutnya, beberapa projek fizikal seperti pembinaan Bulatan Datu Abang Kipli, pembangunan semula Muzium Sejarah Sarawak, Samariang Resort City, Projek Darul Hana, Taman Warisan dan Golden ‘S’ Bridge memberi impak kepada DBKU khususnya masalah lalu lintas, perparitan serta sosial yang perlu ditangani dengan bijak.

“Tahun ini adalah tahun kedua Pelan Penambahbaikan CBS (Cantik, Bersih, Sihat) dilaksanakan dengan objektif menjadikan bandar raya Kuching sebagai sebuah bandar yang paling popular di Asia menjelang 2017,” katanya.

Pada majlis sama Blog Mangsi Bersama Jabatanku dilancarkan oleh Abang Abdul Wahap yang berobjektif menjadi wadah antara pekerja dengan pengurusan menyuarakan pendapat, pandangan dan idea mengenai perkara berkaitan perkhidmatan serta kebajikan kakitangan DBKU.

“Kakitangan DBKU boleh melayari blog ini di http://mangsibersamajabatanku.blogspot.com sekiranya mahu berbincang dan berkongsi maklumat bersama dalam usaha menjadikan DBKU sebuah agensi kerajaan yang gah di persada tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Pengarah DBKU Dr Saadiah Abdul Samat dan Ketua Timbalan Pengarah DBKU Kartini Zamhari.

Advertisement