Anda di sini

Bantuan banjir RM500 perlu dilanjut ke S’wak

Advertisement

KUCHING: Bantuan kewangan RM500 untuk mangsa banjir seperti yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia perlu dilanjutkan ke negeri ini, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Kerajaan negeri, katanya, akan mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Kebangsaan agar setiap mangsa banjir di Sarawak dapat diringankan beban seperti mereka yang ditimpa kesusahan di Semenanjung Malaysia.

“Saya amat berharap bantuan ini dapat diberikan di negeri ini, sama seperti di Semenanjung Malaysia kerana sekurang-kurangnya ia dapat membantu meringankan beban mangsa memandangkan banyak kerosakan berlaku pada rumah dan kereta akibat bencana banjir ini.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan penyerahan peralatan kepada peserta 1AZAM di Pusat Kemahiran 1AZAM di Bangunan Unaco, Jalan Nanas Barat di sini, semalam

Fatimah turut melahirkan harapan agar jawatankuasa tersebut akan memperkasakan usaha dalam membantu rakyat yang ditimpa banjir.

Setakat ini, bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir adalah pusat pemindahan sementara dan makanan.

Advertisement