Anda di sini

Anggota tentera perlu elak gejala negatif

Advertisement

KUCHING: Panglima 1 Divisyen Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar setakat ini gembira kerana gejala sosial seperti perjudian, penipuan siber dan pengambilan dadah tidak berlaku dalam divisyen infantri beliau.

Justeru, beliau menasihati anggotanya supaya peka mengenai siapa diri mereka dan tahu mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan serta tidak terbawa-bawa dengan gejala negatif.

“Cabaran bagi angkatan tentera pada masa ini adalah gejala sosial dan anggota tentera adalah orang biasa.

“Jika mereka memakai seragam, kita dapat memantau mereka tetapi apabila mereka menanggalkannya, adalah sukar untuk mengawal mereka.

“Maka itu, kerohanian individu memainkan peranan penting dalam angkatan tentera,” katanya selepas menyampaikan ceramah mengenai pembangunan insan dan rohani di Pusat Latihan Sarawak, Telaga Air dekat sini semalam.

Sehubungan itu, Zaki turut menyarankan kalangan guru dan kakitangan agama dalam angkatan tentera agar lebih proaktif dalam aktiviti rekreasi askar dan tidak membataskan diri kepada pekerjaan mereka sahaja.

“Mereka adalah sebahagian daripada angkatan tentera dan masyarakat umum dengan tugas untuk meningkatkan pembangunan rohani tentera secara keseluruhannya.

“Malah, sebahagian daripada mereka ini memiliki bakat dan sering melibatkan diri dengan aktiviti sukan dan sosial, maka inilah apa yang diinginkan oleh angkatan tentera dan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, program tersebut adalah kesinambungan kepada perbincangan dan dialog agama yang telah diadakan di Kundasang, Sabah baru-baru ini.

Ia telah dihadiri oleh kakitangan agama tentera Sabah dan Sarawak di mana objektif utama adalah untuk meneliti pencapaian dan pembangunan rohani dalam tentera.

Advertisement