Anda di sini

60 tong sampah besar dan RoRo disedia untuk Tahun Baharu Cina

Advertisement

KUCHING: Warga Kuching yang sibuk membuat persiapan sempena sambutan Tahun Baharu Cina akan datang, kini dapat menikmati kemudahan 60 tong sampah sebesar 600 liter dan 1,000 liter selain tong sampah Roll-on Roll-off  (RoRo).

Kemudahan itu disediakan Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd dan pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dari 11 Januari hingga 8 Februari.

Tong sampah tambahan yang akan ditempatkan secara strategik di beberapa kawasan ‘hot-spot’ di sekitar bandar raya ini diharap dapat menggalakkan mereka yang menyambut perayaan menjalankan kerja pembersihan awal bagi mengelak sebarang kekecewaan pada saat akhir, kutipan tertangguh atau tumpahan buangan berlebihan.

“Perkhidmatan tambahan telah dilaksanakan setiap tahun bagi memastikan sisa yang berlebihan diuruskan dengan cekap supaya penduduk dapat  meraikan Tahun Baharu Cina dalam persekitaran bersih dan sihat.

“Kami menggalakkan semua orang untuk menggunakan tong yang disediakan untuk melupuskan sampah rumah mereka,” kata Pengurus Jabatan Logistik dan Perkhidmatan Trienekens Mason Barau.

Antara kawasan yang disediakan tong sampah berkenaan adalah di Jalan Pisang Barat, Unaco di Rubber Road West dan Pasar Sungai Maong bagi kawasan DBKU.

Bagi kawasan MBKS, tong sampah disediakan di Everrise Padungan, Wisma Wan di Tabuan Jaya, Stutong Commercial, Pasar Foochow, Everrise BDC, Pasar Tabuan Laru, kawasan komersial Kenyalang Park, Jalan Suardi Haji Arshad, Taman Riverview, Pasar Bintawa/Tokong, Travillon Padungan, Jalan Penyau, Flat Bukit Sabun di Pending dan Hui Sing.

Kawasan MPP pula, ia disediakan di Pasar Batu 3, Everrise Batu 4, Pusat Komersial Liang Kee, Pasar Batu 10, Siburan, Everrise Siburan, Beratok, Tapah, Emart Matang, Matang Jaya, MJC dan Flat Jalan Arang.

Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut sila hubungi Hotline Trienekens di talian 082-612300 atau e-mel [email protected].

Advertisement