Anda di sini

UCTS rancang lancar tujuh program ijazah baharu

Advertisement

FASA PERTAMA: Bangunan hadapan UCTS kini hampir siap sepenuhnya.

SIBU: Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) merancang melancarkan tujuh lagi program ijazah baharu pada tahun ini.

Kursus-kursus tersebut adalah seperti Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Tenaga), Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan, Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina, Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dan Ijazah Sarjana Muda Rangkaian Perkomputeran.

Dalam kenyataan akhbar melalui e-mel,UCTS menyatakan bahawa program-program ijazah baharu tersebut akan menjadi pelengkap kepada empat program yang ditawarkan sebelum ini.

Kenyataan akhbar tersebut menjelaskan bahawa projek Fasa 1 kampus berkenaan hampir siap dan dijangka menerima pelajar baharu pada Februari depan.

Pada masa ini, UCTS mempunyai 179 pelajar dan jumlah tersebut dijangka bertambah kepada 800 orang tahun ini memandangkan pertambahan bilangan kemudahan di kampus berkenaan.

Kemudahan tersebut termasuk 17 makmal, 21 kelas, tiga dewan kuliah, lima makmal komputer, perpustakaan tiga tingkat, pusat pembelajaran, gimnasium dan kafeteria.

Ketika ini kampus terbabit mempunyai 22 peratus kakitangan akademik yang berkelayakan PhD dan 54 peratus adalah penerima ijazah Sarjana.

Kakitangan lain terdiri daripada pensyarah dari luar negara bagi meningkatkan kualiti pembelajaran.

Dalam perkembangan lain, UCTS kini menawarkan diskaun promosi sehingga 30 peratus yuran tuisyen dan pendaftaran pelajar.

Beberapa syarikat di Sarawak juga bersetuju menyediakan biasiswa kepada pelajar yang layak dan berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di UCTS.

Advertisement