Anda di sini

Skim Pinjaman Rumah Panjang dibimbangi membeban rakyat

Advertisement

KUCHING: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Vernon Aji Kedit semalam menyuarakan kebimbangannya mengenai Skim Pinjaman Rumah Panjang sebanyak RM10,000 bagi setiap isi rumah yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, inisiatif tersebut bukanlah cara terbaik untuk membantu masyarakat di rumah-rumah panjang negeri ini sebaliknya ia akan memberi bebanan hutang kepada mereka dalam tempoh yang begitu lama.

“Saya difahamkan bahawa bayaran balik yang dikenakan kepada setiap penduduk ialah RM65 sebulan dalam tempoh selama 25 tahun dan jumlah keseluruhan bayaran adalah RM18,888.

“Ini adalah satu bantuan yang baik tetapi ia akan meninggalkan bebanan hutang kepada penduduk dengan kerajaan selama 25 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR Negeri, di sini semalam.

Turut hadir ahli jawatankuasa Pilihan Raya PKR Negeri Baharuddin Datuk Mokhsen, Ahli Majlis Pimpinan Negeri Joshua Jabeng dan ahli Jawatankuasa PKR Cabang Mas Gading Boniface Willy Tumek.

Menjelas lanjut seperti situasi di dua rumah panjang di kawasan DUN Layar iaitu Nyelutong dan Penurin, Vernon berkata setiap isi rumah telah diberikan sebanyak RM12,000.

Daripada jumlah tersebut, katanya RM2,000 adalah sebagai geran dan RM10,000 sebagai pinjaman.

Untuk itu, katanya geran RM2,000 adalah diberikan secara percuma kepada setiap isi rumah tetapi mereka berhadapan risiko membayar pinjaman RM10,000 selama 25 tahun.

“Memberikan duit kepada rakyat untuk membaik pulih atau menaik taraf rumah panjang adalah bukan pembangunan yang sebenar tetapi merupakan pembangunan kosmetik.

“Ia juga akan menyebabkan rakyat dibebani hutang selama 25 tahun dan ini jelas tidak akan membantu menyelesaikan keadaan kewangan mereka,” katanya.

Advertisement