Anda di sini

Sasterawan berperanan bangunkan negara menerusi penulisan: TPM

Advertisement

TAHNIAH: Muhyiddin menyampaikan hadiah tempat pertama Sayembara Penulisan kategori Cerpen kepada Ruhaini (Melawan Yang Mustahil) pada majlis penyampaian hadiah Sayembara Penulisan anjuran ITBN, PENA dan Berita Harian di Sri Satria di Putrajaya, semalam. Turut menyaksikan ialah (dari kiri) Sharuddin, Mohd Khair, Abdul Jalil dan Mohamad Saleeh. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Sasterawan berperanan membantu kerajaan membangunkan negara dengan mengajak rakyat berkongsi segala hasrat dan aspirasi negara menerusi karya mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerjasama erat sasterawan dengan kerajaan dalam merealisasikan misi nasional negara adalah kemuncak usaha untuk membina tamadun bangsa.

“Sekiranya ada pihak yang mendakwa golongan sasterawan berada di haluan sana (berpihak kepada pembangkang) manakala pemimpin negara berada di haluan sini (kerajaan)..ia adalah dakwaan yang tidak benar. Saya ingin menegaskan bahawa sasterawan tetap memainkan peranan penting dalam membina Malaysia sebagai sebuah negara yg maju dan makmur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Berita Harian di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, Sri Satria, di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) Datuk Abdul Jalil Hamid, Pengerusi ITBM Datuk Dr Sharuddin Md Salleh, Pengarah Urusan ITBM Mohd Khair Ngadiron, Presiden PENA Dr Mohamad Saleeh Rahamad dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Mahfar Ali.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata sastera merupakan wadah terbaik yang dapat membentuk pemikiran masyarakat kerana pembangunan negara bukan terletak pada kemajuan material sahaja.

“Penulisan sastera antara cara membangunkan jati diri bangsa dan membentuk kematangan pemikiran rakyat.

“Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Usman Awang pernah menyebut bahawa kesusasteraan adalah suatu alat penting untuk membangunkan kesedaran rakyat dan suatu senjata besar untuk membunuh fahaman kolot dan mundur yang membeku dalam jiwa rakyat.

“Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan telah menjadikan komponen sastera sebagai satu daripada matapelajaran penting untuk menjadi panduan kepada golongan muda khususnya tentang nilai moral, motivasi, rasional,aspirasi dan intelektual,” katanya.

Muhyiddin berkata pelbagai langkah proaktif juga diambil kerajaan termasuk memberikan tanggungjawab kepada IBTM untuk memperbanyak penerbitan buku karya asli penulis muda khususnya subjek sastera.

Senarai pemenang Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi ITBM, PENA dan Berita Harian:

Kategori Novel

Tempat Pertama: Wan Nor Azriq Wan Mokhtar (memenangi wang tunai RM15,000 bersama sijil dan pingat)

Novel bertajuk: D.U.B.L.I.N

Tempat Kedua: Sri Rahayu Mohd Yusop (RM12,000)

Novel: Qalam Kalbu

Tempat Ketiga: Zubaidah Ishak (RM9,000)

Novel: Pertemuan Musim Semi

Kategori Kumpulan Cerpen

Tempat Pertama: Ruhaini Matdarin (memenangi hadiah wang tunai RM10,000 bersama sijil dan pingat)

Cerpen bertajuk: Melawan yang Mustahil

Tempat Kedua: Moh Azam Rezali (RM7,000)

Cerpen: Sayang Perahu, Mudik Hilir

Tempat Ketiga: Radzemah Bolhassan (RM5,000)

Cerpen: Sagu, Ikan Salai

Kategori Kumpulan Puisi

Tempat Pertama: Mohd Ridzuan Harun (memenangi hadiah wang tunai RM10,000 bersama sijil dan pingat)

Puisi bertajuk: Negeri Kunang-Kunang

Tempat Kedua: Rahimidin Zahari (RM7,000)

Puisi: Laut Tujuh Gelombang Buih

Tempat Ketiga: Shamsudin Othman (RM5,000)

Puisi: Taman Maknawi — Bernama

Advertisement