Anda di sini

Rumah panjang disaran wujud jawatankuasa tangani kebakaran

Advertisement

SUMBANGAN: Rundi (tengah) menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada Tuai Rumah Marepat selaku wakil mangsa kebakaran di Rumah Marepat semalam.

BINTULU: Setiap rumah panjang disaran agar mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani masalah kebakaran rumah panjang yang sering berlaku di negeri ini, kata Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom.

Jelasnya, setakat ini tugastugas mengawal keselamatan dan keamanan kampung dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan rata-rata mereka tidak mempunyai kemahiran khusus dalam memantau serta menangani masalah kebakaran melibatkan rumah panjang.

“Melalui pemerhatian saya, jawatankuasa khas yang dimaksudkan ialah mereka yang mempunyai kemahiran serta ilmu khusus bagi mengawal serta memadam kebakaran sementara menunggu Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba menjalankan tugas mereka,” katanya ketika ditemui pada penyerahan bantuan mangsa kebakaran di Rumah Marepat Sekeran di Sungai Sebungan, Sebauh pagi semalam.

Katanya sekiranya setiap rumah panjang mempunyai jawatankuasa khas bagi mengawal serta memadam kebakaran, ia akan membolehkan mereka bertindak cepat bagi mengawal kebakaran tatkala api masih lagi kecil serta tidak menjejaskan seluruh bahagian rumah panjang.

Katanya tanggungjawab utama jawatankuasa khas mencegah kebakaran itu nanti ialah melakukan pemantauan di setiap bahagian yang terdedah kepada risiko kebakaran seperti bahagian dapur dan bilik tidur dan sudah pasti pemeriksaan terhadap sistem pendawaian elektrik di rumah panjang mereka sendiri.

Beliau turut menasihati penduduk agar meningkatkan tahap keselamatan di rumah panjang masing-masing dan mengingatkan sesama sendiri agar sentiasa berwaspada dengan penggunaan api bagi mengelak kebakaran.

Apa yang paling penting, semua penghuni rumah panjang tidak kira tua atau muda harus saling mengingatkan agar tidak meninggalkan bilik ketika memasak atau menggunakan sebarang bentuk peralatan elektrik bagi mengelak mendatangkan masalah kepada semua penghuni.

“Harus diingat oleh semua penduduk rumah panjang bahawa komunikasi berkesan amat perlu bagi setiap penghuni bagi mengelak kecuaian dalam penggunaan bahan api yang boleh mengundang musibah kepada seluruh penghuni rumah panjang,” tegasnya.

Rundi turut menyampaikan geran bantuan RM20,000 kepada penduduk rumah panjang yang akan digunakan untuk membeli peralatan membina ‘dampa’ atau rumah sementara lebih kukuh sementara menunggu rumah panjang baharu siap kelak.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Victor Temengung Anggang, Pegawai Daerah Bintulu Tuah Suni, Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sebauh David Kala, Pemanca Utong Sigan dan Penghulu Michael Lanyau.

Advertisement