Anda di sini

Polis semak tindakan, keputusan YDP Besut

Advertisement

Tembakan amaran ke arah rumahnya dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati

KUALA TERENGGANU: Pihak polis akan menyemak segala tindakan dan keputusan yang pernah dilakukan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut sehingga keluarga dan kediamannya diancam dengan sasaran tembakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata pihaknya percaya kejadian itu berpunca daripada rasa tidak puas hati oleh pihak yang tidak bertanggungjawab berhubung keputusan dan arahan yang dibuat oleh mangsa.

Beliau berkata enam das tembakan yang dilepaskan ke arah rumah dan kereta Mercedes Benz CLK 320 mangsa pada awal pagi kelmarin jelas menunjukkan sebagai tembakan amaran bagi menakut-nakutkan mangsa.

“Jika individu terbabit ingin mengancam nyawa mangsa, mereka mampu lakukan sebelum ini ketika mangsa bebas bergerak ke mana-mana bersendirian.

“Namun individu berkenaan tidak melakukan demikian dan mangsa juga tidak pernah menerima sebarang ugutan. Mungkin tembakan itu hanya memberi amaran Negerisebagai tanda tidak berpuas hati terhadap mangsa,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya pihak polis akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Oleh kerana kes tersebut diklasifikasikan sebagai ancaman, pihak polis seterusnya akan memberi perlindungan kepada keluarga mangsa dan Ketua Polis Daerah Besut akan menguruskan perlindungan kepada mangsa,” katanya.

Enam das tembakan dilepaskan ke arah rumah Ibrahim Mohamad, 55, di Kampung Gong Kepas kira-kira jam 6.15 pagi.

Mangsa bersama isteri dan seorang anak mereka berumur 11 tahun berada di dalam rumah dan terdengar beberapa bunyi letupan tetapi tidak mengesyaki ia adalah bunyi tembakan yang dilepaskan ke arah kediaman mereka.

Kejadian itu hanya disedari pada jam 8.30 pagi apabila isteri Ibrahim keluar untuk membersihkan kawasan rumah dan melihat kesan pecah pada cermin keretanya serta menemui serpihan peluru di pekarangan rumah banglo setingkat itu.

Manoharan berkata pihaknya telah menghantar jenis kelongsong peluru ke Unit Forensik Bukit Aman bagi mengenal pasti jenis senjata yang digunakan. — Bernama

Advertisement