Anda di sini

Polis Perak ambil tindakan tegas terhadap anggota terlibat dadah

Advertisement

IPOH: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota atau pegawainya yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah, kata Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Polis tidak akan bertolak ansur terhadap anggota yang melakukan apa sahaja salah laku yang boleh menjejaskan integriti pasukan itu, katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan Balai League Table kepada Balai Polis Bercham dan Kampung Rapat di sini, semalam.

“Semua ketua polis daerah di negeri ini diminta mengawasi anggota mereka untuk memastikan kejadian itu tidak berulang,” katanya.

Beliau diminta mengulas kes seorang anggota polis berpangkat Konstabel yang cuba menyeludup masuk dadah di Balai Polis Bercham di sini pada Sabtu lepas.

Menurutnya dadah jenis heroin, ganja dan Eramin 5 itu dipercayai untuk kegunaan suspek dan ia diperoleh daripada pembekal luar.

“Keputusan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Mengenai kedudukan anggota itu, Acryl Sani berkata ia akan diputuskan selepas tempoh perintah reman selama tujuh harinya selesai.

Seorang pegawai lokap menahan anggota berumur 20 tahun itu ketika suspek sedang meluru masuk ke balai berkenaan melalui pintu belakang sambil membawa sembilan bungkusan yang kononnya beras pada kira-kira jam 11 malam.

Melihat keadaan suspek yang mencurigakan, pegawai itu memeriksa kesemua bungkusan berkenaan dan mendapati satu daripadanya mengandungi pelbagai jenis dadah. — Bernama

Advertisement