Anda di sini

PIBG belum sedia kendali operasi bas sekolah

Advertisement

KOTA KINABALU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) masih belum bersedia untuk mengoperasikan perkhidmatan bas sekolah memandangkan tidak ada peruntukan yang diberikan dalam menyediakan van atau bas sekolah.

Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Bandaraya Kota Kinabalu Nur Atikah Abdullah bagaimanapun menyokong pengusaha bas sekolah yang mampu menyediakan perkhidmatan itu kepada pelajar.

“Saya juga menyarankan agar Lembaga Perselesanan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengutamakan mereka yang mampu mengusahakan perkhidmatan itu khususnya yang mempunyai van atau bas sedia ada.

“Tidak kesemua PIBG di Sabah mampu berbuat demikian kerana faktor kos dalam pembelian bas sekolah,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Nur Atikah berkata, mereka yang mampu dan ingin menjadi pengusaha bas sekolah perlulah memenuhi syarat LPKP.

Katanya, bas sekolah perlu diperluaskan ke bahagian pedalaman dan juga perkampungan yang berdekatan dengan jalan raya.

“Peraturan oleh pihak berwajib juga perlu wujudkan iaitu, para pelajar perlu diberikan insuran kerana kemalangan boleh berlaku setiap masa tanpa diduga.

“Dengan banyaknya perkhidmatan bas sekolah, maka ia akan memudahkan pelajar pergi dan balik dari sekolah,” katanya.

Namun katanya, tambang bas sekolah pula terpulang kepada LPKP untuk meletakkan harga kerana kuasa itu terletak di tangan mereka.

Advertisement