Anda di sini

Petugas Yayasan Islam Terengganu cedera dipukul

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Seorang Pekerja Rendah Am Yayasan Islam Terengganu cawangan Besut yang pernah berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya cedera dipukul beberapa lelaki yang dikenalinya Ahad lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.50 petang di hadapan Dewan Gong Kemuntong ketika Mohd Noor Mat, 47, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tok Raja, Jerteh, Besut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K.Manoharan berkata mangsa telah disekat sekumpulan individu hingga berlaku pertengkaran sebelum mangsa ditumbuk dan dipukul.

Akibat pukulan itu, mangsa mengalami kecederaan pada muka dan badan dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pihak polis telah mengenal pasti suspek utama kes berkenaan dan gerakan memburu sedang dijalankan.

“Kita sedang kesan suspek ini dan kita percaya dia akan ditangkap tidak lama lagi. Penangkapan suspek ini pastinya akan membawa kepada penangkapan suspek-suspek lain yang terlibat dalam kejadian itu,” katanya.

Pada 2007, Mohd Noor menyahut cabaran Menteri Besar Terengganu ketika itu, Datuk Seri Idris Jusoh untuk berjalan kaki dari Kemaman hingga Besut.

Beliau mengulangi kejayaan itu tahun lepas dengan berjalan kaki pula dari Kuala Besut ke Putrajaya sejauh 600 kilometer sebagai melunaskan nazarnya setelah Barisan Nasional mengekalkan kerusi dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut pada Julai tahun lalu. — Bernama

Advertisement