Anda di sini

Penduduk terjejas akibat projek jalan raya

Advertisement

RUNTUH: Beginilah dinding rumah Isak runtuh sehingga menjejaskan kediaman saudaranya yang berdekatan.

TERBELAH DUA: Lebih 100 benih ikan di kolam milik Isak terjejas selepas tanah kolam berkenaan retak.

Tanah susur jejaskan kolam ikan, rumah yang sedang dibina dan ekosistem tanah

BA’ KELALAN: Seorang penduduk Kampung Punang Kelalan dekat sini berdepan dengan igauan ngeri apabila kediaman dan harta bendanya musnah akibat pembinaan jalan raya dari Ba’ Kelalan ke Bario yang sedang giat dilaksanakan.

Isak Mutang ketika mendedahkan masalah itu menyifatkan kontraktor terbabit sebagai tidak bertanggungjawab terhadap kerosakan kediaman dan harta bendanya, sekali gus menyebabkan beliau dan ahli keluarganya mengalami kerugian ribuan ringgit.

Beliau memberitahu, pembinaan jalan raya terbabit menyebabkan berlakunya masalah tanah susur akibat pergerakan bumi yang aktif sehingga menjejaskan kolam ikan, satu unit rumah yang kini dalam pembinaan dan ekosistem tanah.

“Kami berdepan dengan kerugian ribuan ringgit selepas tanah kolam ikan berhampiran terbelah dua dan dinding konkrit baharu dibina runtuh, sedangkan kontraktor terbabit masih membisu walaupun sudah dimaklumkan mengenai masalah ini,” katanya di sini semalam.

Isak berkata, kontraktor berkenaan tidak bertanggungjawab termasuk tidak memberi pampasan atas kerosakan berlaku.

“Kami bukan menentang pembangunan, tetapi biarkan pembangunan tidak memusnahkan kediaman dan harta benda kami,” ujarnya.

Menurutnya, pembinaan jalan raya memang amat dinanti-nantikan, khususnya bagi penduduk di kawasan tanah tinggi tersebut, namun biarlah dijalankan tanpa memberi kesan buruk kepada orang lain.

“Akibat kerja pembinaan yang dilakukan kontraktor terbabit, kediaman kami menjadi mangsa sehingga kepingan zink aluminium yang dibina musnah selain kerosakan lain,” tambahnya.

Beliau mahu aspek pembinaan jalan raya tersebut mengikut prosedur dan standard pembangunan yang ditetapkan termasuk mendapatkan pengauditan daripada Jabatan Alam Sekitar.

Isak menambah, sebelum ini beliau sudah kerap kali bermesyuarat dan membuat aduan kepada syarikat terbabit, tetapi pihak berkenaan lambat bertindak sehingga menyebabkan banyak kerosakan kepada kediaman dan harta bendanya.

“Apa yang lebih membimbangkan, musim tengkujuh sekarang yang boleh menyumbang kepada kerosakan alam sekitar dan tanah susur akibat hujan boleh memusnahkan kediaman kami,” katanya.

Pojek pembinaan jalan raya Ba’ Kelalan ke Bario sepanjang 42 kilometer bernilai RM42 juta dan kerja-kerja pembinaan dimulakan sejak 1 Oktober lalu dan dijangka siap September 2014.

Projek di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu adalah kesinambungan kepada Projek Jiwa Murni menaik taraf jalan sepanjang 75 kilometer menghubungkan Long Luping dengan Ba’ Kelalan yang sudah siap pada September tahun lalu.

Projek Jiwa Murni merupakan inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggunakan peruntukan khas beliau untuk membantu penduduk pedalaman memperolehi prasarana dan kemudahan lain dalam usaha mempertingkatkan taraf kehidupan mereka yang masih terkebelakang dalam aspek pembangunan.

Advertisement