Anda di sini

Pelantikan Tiong sebagai duta khas Asia Timur tidak rasional, kata Chong

Advertisement

KUCHING: Pelantikan Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing sebagai duta khas Asia Timur dilihat sebagai tidak rasional.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Chong Chieng Jen berkata, pelantikan itu seolah-olah tidak rasional lebih-lebih lagi dalam kerajaan berusaha mengurangkan perbelanjaan negara.

Selain itu katanya, hal ehwal luar negara mampu diuruskan oleh kementerian-kementerian sedia ada seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pelancongan serta Kementerian Luar Negeri.

Oleh itu, Tiong perlu membuktikan dirinya mampu memikul tanggungjawab dan melaksanakan tugas sebaik mungkin sebagai duta khas Asia Timur berstatus menteri.

“Pelantikan itu demi politik semata-mata, bagi menyenangkan hati SPDP.

“Saya rasa, kementerian-kementerian sedia ada mampu menjalankan tugas untuk berurusan dengan negara luar.

“Tiong harus membuktikan dirinya mampu melaksanakan tugas lebih cekap dan baik berbanding MITI, Kementerian Pelancongan dan Kementerian Luar Negeri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) di sini, semalam.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan pelantikan Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Duta Khas berstatus Menteri di Asia Timur.

Difahamkan kini, Perdana Menteri mempunyai empat duta khas dan 13 penasihat khas yang kebanyakannya berstatus menteri.

Mengikut jawapan Parlimen, selain menikmati elaun dan kebajikan setaraf dengan menteri, seorang duta khas mendapat gaji bulanan RM27,227.20 iaitu lebih tinggi daripada menteri.

Mereka juga diberi pejabat yang dibiayai kerajaan, bahkan ada di kalangan mereka diberi setiausaha kanan, pegawai khas, pembantu khas dan pegawai pengiring Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kami (DAP) melihat pelantikan ini sebagai satu pembaziran,” katanya.

Advertisement