Anda di sini

Pasukan Medvill ‘raja’ futsal daerah Dalat

Advertisement

BERSAMA: Para pemain bersama-sama penganjur pada Kejohanan Futsal Kelab Futsal Daerah Dalat Siri Emas di Dalat.

MUKAH: Pasukan Medvill muncul juara pada Kejohanan Futsal anjuran bersama Kelab Futsal Daerah Dalat (KFDD) Siri Emas dan Persekutuan Belia Parlimen Mukah (PBPM) di Dewan Utama, Stadium Perpaduan Dalat.

Sebanyak 48 pasukan dari Daro, Igan, Oya, Dalat, Mukah dan Balingian telah menyertai kejohanan itu sebagai siri penutup untuk kejohanan KFDD.

Medvill membawa pulang wang tunai RM600, piala dan medal.

Manakala naib juara Sesuka FT iaitu pasukan gabungan belia dari kampung sekitar Mukah dan membawa pulang wang tunai RM400, piala dan medal.

Kejuaraan ditentukan melalui sepakan penalti setelah tamat 20 minit masa perlawanan dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1 hasil jaringan Lester Baten (Medvill) dan Yazid Muztaba (Sesuka FT).

Seterusnya, sepakan penalti berkesudahan Medvill (3) Sesuka FT (1) dan pemain terbaik perlawanan akhir disandang oleh Alexson Kip (penjaga gol Medvill).

Manakala, pasukan Fair Play pula dimenangi oleh K-LID 13 dari Kampung Kelid, Dalat.

Difahamkan, Medvill pernah menjuarai Kejohanan Futsal KFDD Siri 1/2013 sempena Tahun Baharu Cina mewakili Bahagian Mukah ke Liga Sukan Untuk Semua (LSUS) peringkat negeri pada 2012, naib juara Piala Belia Liga Juara-Juara Parlimen Mukah pada April 2012 dan mewakili Parlimen Mukah pada Kejohanan Futsal 1 Malyasia peringkat kebangsaaan di PutraJaya pada 2012.

Tempat ketiga ialah pasukan Azzuri 175 iaitu pasukan terdiri daripada belia Kampung Tanam dan Politeknik Mukah membawa pulang wang tunai RM300, piala dan medal.

Pasukan Azzuri 175 pernah muncul naib juara pada kejohanan KFDD Siri 3/2013.

Manakala pasukan K-LID 13 menyandang tempat keempat dan berjaya membawa pulang wang tunai RM200 dan medal iaitu merupakan penyertaan pertama bagi pasukan tersebut.

Objektif kejohanan itu memastikan kesinambungan penganjuran Kejohanan KFDD sekali gus memeriahkan sambutan Tahun Baharu 2014 peringkat Bahagian Mukah.

Kejohanan penutup anjuran KFDD menentukan Raja Futsal di daerah Dalat khasnya sebagai landasan para pemain sekitar Mukah mengasah dan menonjolkan bakat dalam sukan futsal untuk ke peringkat lebih tinggi.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi PBPM, Royston Valentine.

Turut hadir Pengerusi KFDD, Daniel Francis Klumai.

Royston berkata, penganjur mengucapkan terima kasih kepada semua terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang penganjuran Kejohanan Futsal KFDD dari Siri 1, Siri 2, Siri 3 dan Siri Emas.

“Tanpa kerjasama erat semua pihak terutamanya Ahli Kelab Futsal Daerah Dalat ini kejohanan bersiri seumpama ini pasti sukar untuk dijayakan.

“Semoga kerjasama seperti ini berterusan dalam usaha kita menyediakan ruang aktiviti sihat agar boleh disertai oleh para belia di sekitar Bahagian Mukah sekali gus mengelak mereka terjebak dalam gejala sosial yang boleh meruntuhkan akhlak individu dan kumpulan belia itu sendiri.

“Sekalung penghargaan kita ucapkan kepada Ahli Parlimen Mukah, Dato Sri Dr Muhd Leo Toyad atas sokongan dan dorongan memastikan penganjuran aktiviti sihat seperti ini sentiasa berterusan bukan sahaja di kawasan Parlimen Mukah tetapi seluruh Bahagian Mukah,” katanya.

Advertisement