Anda di sini

Miri perlukan Anjung Singgah untuk gelandangan

Advertisement

MENCACATKAN PEMANDANGAN: Seorang gelandangan menjadikan pondok berhampiran terminal bas pusat bandar sebagai tempat untuk berehat atau tidur.

Tinjauan mendapati kebanyakan golongan ini jadikan tempat awam tempat untuk berehat atau tidur

MIRI: Kerajaan harus memperluaskan penubuhan Anjung Singgah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Sarawak di sini bagi membantu golongan gelandangan yang kian bertambah.

Tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati kebanyakan golongan gelandangan menjadikan tempat awam sebagai tempat untuk berehat atau dijadikan markas untuk tidur pada sebelah malam.

Tinjauan turut mendapati ada di kalangan golongan terbabit meminta sedekah di kaki lima bahkan meminta wang daripada orang awam di restoran-restoran.

Paling menyedihkan, ada di kalangan mereka membawa anak bersama untuk meminta sedekah daripada orang awam yang lalu-lalang di kaki lima bangunan kedai atau bangunan komersial.

Salah orang pengadu yang enggan namanya disiarkan berkata terdapat keperluan Anjung Singgah diperluaskan berikutan jumlah golongan gelandangan setiap hari semakin bertambah.

“Anjung Singgah ini hanya terdapat di Kuching sebaliknya ia perlu diperluaskan ke semua bandar utama termasuk Miri yang kini berdepan masalah sama,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau memberitahu, golongan gelandangan ini sekiranya tidak ditempatkan di satu pusat khas, kemungkinan akan menjejaskan imej pelancongan negeri.

“Pelancong akan berasa tidak selamat dengan kehadiran golongan ini yang meminta sedekah di restoran-restoran makanan dan kaki lima.

“Kerajaan harus menubuhkan lebih banyak Anjung Singgah di Sarawak agar jumlah golongan ini yang merayau tanpa hala tuju dapat diurus oleh agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata sebagai contoh, bandar raya Miri juga kini pesat membangun sama seperti Kuching dan berfungsi sebagai pusat perniagaan, pelancongan dan lokasi pencari pekerjaan.

“Kita tidak tahu apa masalah utama golongan ini bergelandangan sama ada mempunyai masalah keluarga, menganggur dan sebagainya. Sebab itu kita mencadangkan agar kerajaan memperluaskan program Anjung Kasih di bandar-bandar utama Sarawak bagi menjaga kebajikan golongan yang memerlukan bantuan,” jelasnya.

Sementara itu, kategori gelandangan yang layak menginap di Anjung Singgah ialah warganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas dan tidak mampu menyewa rumah atau bilik penginapan.

Antara lain syaratnya termasuk tidak mempunyai pekerjaan, terlantar, penagih dadah yang bersedia menjalani rawatan pemulihan, individu yang dihalau dari rumah dan lain-lain.

Antara kemudahan yang disediakan adalah seperti bilik kaunseling, bilik temu duga, dewan makan, surau, bilik mandi serta bilik penginapan lelaki dan wanita.

Advertisement