Anda di sini

Koperal maut dalam perjalanan ke tempat kerja

Advertisement

MACHANG: Seorang Koperal maut dalam kemalangan yang melibatkan tiga buah kenderaan di Km33, Jalan Kuala Krai-Kota Baharu di sini semalam.

Ketua Balai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, DSP Che Malek Bedot berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika Che Yusoh Ismail, 51, bersama isteri Suraya Elias, 50, dalam perjalanan ke kuarters mereka di IPD Machang.

“Kejadian berlaku apabila sebuah lori dari arah Kuala Krai ke Kota Baharu memasuki lorong yang bertentangan dan melanggar Proton Waja yang dinaiki mangsa bersama isteri.

“Kenderaan mangsa dipercayai diseret sebelum dilanggar sebuah Toyota Unser,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata mangsa cedera parah di kepala dan tangan kanan akibat hentakan kuat manakala isteri mangsa dan pemandu Toyota itu hanya cedera ringan.

Che Malek berkata pemandu lori itu melarikan diri selepas kemalangan dan beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut agar membuat laporan polis.

Sementara itu Suraya berkata beliau tidak menyedari kereta mereka telah dilanggar.

“Saya sedar dalam keadaan terhuyung-hayang akibat dilanggar, tetapi tidak perasan telah dilanggar lori dan kenderaan lain,” katanya.

Katanya jenazah suaminya akan dikebumi di Kampung Jal, Pasir Mas. — Bernama

Advertisement