Anda di sini

Kerajaan harus telus beri geran kepada penduduk rumah panjang

Advertisement

BEGINI: Vernon menerangkan mengenai kedudukan rumah-rumah panjang di kawasan DUN Layar pada sidang media di Ibu Pejabat PKR Negeri di Kuching, semalam. Turut kelihatan Baharuddin (kanan), Boniface (kiri) dan Joshua (dua kiri).

KUCHING: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Vernon Aji Kedit meminta Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang agar telus dalam memberi geran kepada penduduk rumah panjang di kawasannya dan di seluruh negeri ini.

Katanya, Jabu mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian menerusi kapasitinya sebagai Timbalan Ketua Menteri dan bukannya hanya memilih satu atau dua rumah panjang sahaja untuk menerima geran daripadanya.

Baru-baru ini, dilaporkan bahawa Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar telah menyerahkan geran sebanyak RM60,000 kepada Rumah Nyelutong dan RM60,000 kepada Rumah Penurin iaitu di kawasannya DUN Layar, Betong.

Menurut Vernon, kedua-dua rumah panjang tersebut juga adalah terletak di dalam bandar Betong.

“Bilangan keseluruhan rumah panjang di dalam DUN Layar adalah lebih 100 tetapi kenapa hanya dua rumah panjang tersebut sahaja diberikan geran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR Negeri di sini, semalam.

Turut hadir ahli Jawa tankuasa Pilihan Raya PKR Negeri Baharuddin Datuk Mokhsen, Ahli Majlis Pimpinan Negeri Joshua Jabeng dan ahli jawatankuasa PKR Cabang Mas Gading Boniface Willy Tumek.

Sementara, Vernon berkata baru-baru ini Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud juga telah mengumumkan simpanan negeri sebanyak RM22 bilion.

Justeru, beliau menyarankan kepada Jabu agar mendapatkan sebahagian daripada simpanan kewangan negeri itu untuk geran bagi rumah-rumah panjang di kawasannya.

Katanya jumlah kewangan yang diperlukan Jabu untuk tujuan tersebut adalah kira-kira RM7.2 juta iaitu hanya 0.000372 peratus daripada RM22 bilion simpanan negeri.

“Saya mahu Jabu memohon kepada Ketua Menteri untuk mendapatkan sebanyak RM7.2 juta daripada RM22 bilion simpanan negeri dan mengagihkannya secara sama rata kepada semua rumah panjang di Layar.

“Saya pasti Jabu boleh berbuat demikian berdasarkan kapasitinya sebagai Timbalan Ketua Menteri,” katanya.

Advertisement