Anda di sini

Kalimah ‘Allah’ tidak sepatutnya jadi isu yang jejas perpaduan

Advertisement

KUCHING: Bekas pengacara MTV Kristiane Backer melahirkan rasa hairan dengan sikap umat Islam di Malaysia yang membantah penggunaan kalimah ‘Allah’ di kalangan Kristian.

Beliau yang memeluk Islam sejak 1995 berkata, selagi kalimah tersebut digunakan secara positif oleh mana-mana pihak, ia tidak sepatutnya menjadi isu yang boleh merenggangkan perpaduan kaum.

Menurutnya, umat Islam sepatutnya berasa bangga kerana kalimah itu turut digunakan masyarakat agama lain dan isu tersebut tidak seharusnya diperbesarkan.

“Kita sedia maklum Allah merupakan nama Arab bagi menunjukkan Tuhan dan ia digunakan masyarakat Kristian di seluruh dunia termasuk negara Arab bagi merujuk kepada Tuhan.

“Jadi kenapa kita perlu membantah penggunaannya?,” katanya menjawab pertanyaan tetamu yang hadir pada ceramah umum bertajuk ‘Dari MTV Ke Mekah’ di sini, semalam.

Kristiane juga berkata, beliau tidak faham dengan kalimah Allah menjadi isu hangat di negara ini sedangkan di negara Islam lain kalimah itu bebas digunakan masyarakat Kristian.

“Saya berharap umat Islam di Malaysia tidak terus memperbesarkan isu ini.

“Ini kerana Malaysia terkenal di seluruh dunia sebagai negara yang mengutamakan perpaduan,” ujarnya.

Advertisement