Anda di sini

Jurulatih kecewa PTM had umur atlet tinju SUKMA XVII

Advertisement

KUCHING: Jurulatih skuad tinju Sarawak, Fred Mandagi sekali lagi melahirkan rasa kecewa terhadap Persatuan Tinju Malaysia (PTM) berhubung perubahan had umur atlet yang akan bertanding pada SUKMA XVII di Perlis.

Menurutnya, peraturan baharu PTM dengan hanya membenarkan atlet berusia 19 hingga 21 tahun bertanding pada SUKMA kali ini jelas tidak memberi kelebihan buat kontinjen negeri.

“Saya sangat kecewa kerana peraturan baharu had umur atlet menjejaskan peluang kita untuk memenangi banyak pingat,” katanya di sini semalam.

Ini kerana, katanya, Sarawak hanya dapat menyenaraikan tiga orang atlet sahaja pada SUKMA kali ini.

Menurut Fred, beliau cuba untuk memanggil semula atlet berusia 19 hingga 21 tahun namun gagal kerana mereka sudah bekerja dan ada yang telah menyambung pengajian.

“Sebahagian daripada atlet-atlet ini enggan lagi mewakili Sarawak kerana kecewa dengan perubahan peraturan tersebut.

“Mereka telah berlatih dengan gigih dan memberikan komitmen sepenuhnya untuk bertanding pada SUKMA,” jelasnya.

Sebelum ini, PTM meluluskan permohonan tuan rumah Perlis dengan menetapkan hanya atlet berusia 17-18 tahun bertanding pada edisi SUKMA kali ini.

Bagaimanapun, peraturan itu diubah kepada 19-21 tahun hasil mesyuarat antara badan induk itu dan semua kontinjen negeri pada November lalu di Kuala Lumpur.

Fred yakin Sarawak mampu meraih banyak pingat sekiranya peraturan had umur 17-18 tahun dikekalkan kerana beliau mempunyai sembilan atlet berpotensi.

“Saya tak tahu nak cakap apa. Perubahan peraturan ini benar-benar menyukarkan peluang kita namun apa boleh buat,” ujarnya kecewa.

Harapan Sarawak kini disandarkan ke bahu dua atlet lama, Mohamad Aisamuddin Mohamad dan Mohamad Zamzurin Asran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat.

Sarawak juga akan menampilkan petinju kurang berpengalaman, Lawrence pada saingan kali ini.

Bagi memantapkan persediaan, beliau akan membawa skuad menjalani latihan di Pontianak sebelum SUKMA bermula.

Pada SUKMA 2012 di Pahang, Sarawak menghantar enam peserta dan berjaya membawa pulang dua perak menerusi Richard Lim dan Nazreen Sidi.

Advertisement