Anda di sini

Jabatan Imigresen Pulau Pinang tahan 39 pendatang asing

Advertisement

BUTTERWORTH: Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 39 pendatang asing termasuk seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan dalam beberapa serbuan di sekitar negeri ini, malam kelmarin.

Pengarahnya Hasbullah Abdul Rashid berkata dalam operasi bersepadu yang bermula jam 3 petang hingga lewat malam itu, seramai 25 lelaki dan 13 wanita berusia antara 18 dan 40 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Dalam serbuan pertama di sebuah kilang kayu di Juru, pasukan kita memeriksa 12 lelaki Nepal dan hasil pemeriksaan, empat lelaki ditahan selepas tidak memiliki dokumen perjalanan diri,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan di sini.

Katanya pihaknya menyerbu lokasi kedua iaitu sebuah premis mencuci kenderaan di Bukit Tengah, dekat ini dan menahan tiga lelaki warga Myanmar atas kesalahan tinggal lebih masa di negara ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di Flat Taman Bukit Juru, Bukit Mertajam, seramai 19 warga asing termasuk bayi perempuan berkenaan ditahan.

“Di flat berkenaan, kita memeriksa 109 warga asing dan daripada 19 yang ditahan itu terdiri daripada 14 warga Myanmar, masing-masing dua warga Vietnam dan Indonesia serta seorang warga Bangladesh,” katanya.

Hasbullah berkata dalam operasi berkenaan, pihaknya turut menahan 13 warga Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kerana kesalahan memiliki pasport palsu.

Katanya, mereka yang terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita itu ditahan di balai berlepas selepas pemeriksaan pasport mereka didapati palsu.

Semua tahanan dibawa ke Depoh Tahanan di Juru untuk siasatan lanjut, katanya. — Bernama

Advertisement