Anda di sini

Festival ‘Tropfest SEA’ beri lonjakan kepada Tahun Melawat Malaysia

Advertisement

GEORGE TOWN: Tropfest South East Asia (Tropfest SEA), edisi sulung festival filem pendek terbesar dunia bagi Asia, akan memberi lonjakan kepada Tahun Melawat Malaysia 2014.

Lebih 10,000 penonton dijangka menghadiri Hari Festival Tropfest SEA 2014 di Esplanade di sini pada 25 Januari, menampilkan kumpulan White Shoes dan The Couples Company yang berpusat di Jakarta serta kumpulan rock cello tempatan, Paladin.

Pengarah Urusan Tropfest SEA, Joe Sidek berkata 12 finalis filem yang terpilih daripada lebih 180 penyertaan filem pendek dari sembilan negara Asia Tenggara akan turut diumumkan pada festival berkenaan.

“Menghimpunkan finalis ini ke Pulau Pinang untuk mengetengahkan karya mereka dan memberi mereka peluang meneroka pasaran global, menandakan permulaan fasa baharu perjalanan Tropfest SEA mereka yang begitu mengujakan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tropfest SEA, disokong oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia dan Malaysia Major Events, satu cabang Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCeb) di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Antara 12 finalis terkemuka adalah ‘Laek’ arahan Mony Kann Darung dari Kemboja, ‘Chicken’ arahan Yihwen Chen dari Malaysia, ‘Rice’ arahan Ines Sothea dari Kemboja, ‘The Strange Detective’ arahan Chan Kean Wah dari Malaysia, ‘Rice Border Love’ arahan Supawit Buaket dari Thailand dan ‘Moth in Twilight’ arahan J.E. Tiglao dari Filipina.

Sebagai tambahan kepada pendedahan di seluruh dunia, juara Tropfest SEA 2014 akan menerima hadiah wang tunai US$10,000 tajaan Tropfest SEA dan kunju-ngan ke Los Angeles untuk bertemu beberapa peneraju industri perfileman dengan ditaja  Motion Picture Asso-ciation. — Bernama

Advertisement