Anda di sini

FAS perkenal tiket secara ‘online’

Advertisement

BERITA BAIK: Mohammad Abu Bakar (kiri), Wong dan Abdullah menunjukkan sampel salinan tiket yang dibeli secara ‘online’ pada sidang media di Kuching semalam.

Kemudahan kepada para penyokong Ngap Sayot dapatkan tiket tanpa perlu bersesak

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mula menjual tiket secara ‘online’ bagi semua perlawanan melibatkan Sarawak sepanjang kempen Liga Malaysia 2014.

Timbalan Presidennya, Datu Mohammad Abu Bakar Marzuki berkata tiket tersebut hanya tertakluk kepada perlawanan di Stadium Negeri, di sini sahaja.

Katanya, sebagai permulaan FAS hanya menjual tiket bermusim kepada para penyokong.

Manakala tiket bagi individu akan mula dijual pada perlawanan pertama Sarawak menentang Pulau Pinang dalam kempen Piala FA pada 21 Januari ini.

“Sistem ini bertujuan memberi kemudahan kepada para penyokong mendapatkan tiket tanpa perlu bersesak dan beratur panjang seperti yang berlaku pada musim lalu,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menuritnya, kelebihan menggunakan sistem ‘online’ ini adalah tempat duduk para penyokong dijamin dengan syarat mereka membeli tiket tersebut dengan awal.

Mohammad Abu Bakar berkata, FAS juga masih meneruskan jualan tiket di kaunter bagi memberi kemudahan kepada para penyokong yang tidak mempunyai akses Internet.

“Untuk permulaan, kita akan menjual sebanyak 50 peratus tiket secara ‘online’ manakala selebihnya di kaunter. Jika permintaan jualan secara ‘online’ meningkat, jumlah tiket akan dinaikkan dari semasa ke semasa,” tambahnya.

Menurutnya, penyokong pasukan lawan pula perlu berhubung dengan FAS untuk membeli tiket.

FAS akan bekerjasama dengan MyELink Sdn Bhd menjual tiket tersebut di www.sarawakfootball.com atau laman ‘facebook’ bola sepak Sarawak dengan pembelian boleh dilakukan menggunakan kad kredit atau perbankan ‘online’.

Setiap penyokong hanya boleh membeli lima tiket pada satu masa, manakala bagi perlawanan penting penyokong boleh membeli satu tiket sahaja.

Setelah transaksi berjaya dilakukan, pembeli perlu mencetak salinan pembelian untuk mendapatkan tiket sebenar di mana-mana empat kaunter yang telah ditetapkan oleh FAS.

Kaunter tersebut akan dibuka sehari sebelum perlawanan bermula dan ditempatkan di Stadium Negeri, Wisma Hopoh, Sarawak Plaza dan Kuching Sentral.

Bagi memudahkan pembeli, salinan dalam bentuk ‘softcopy’ juga boleh diterima dengan syarat mereka mengemukakan nombor tiket tersebut beserta kad pengenalan.

Harga tiket bermusim berjumlah RM700 (grandstand B), RM500 (teres berbumbung) dan RM300 (teres terbuka).

Manakala bagi individu adalah RM35 (grandstand), RM20 (teres berbumbung) dan RM15 (teres terbuka).

Sarawak menjadi negeri pertama memperkenal sistem jualan tiket secara ‘online’ bagi perlawanan bola sepak Liga Malaysia.

Hadir sama Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi dan Ketua Pegawai Operasi MyELink, Dr Wong Wing Seong.

Advertisement