Anda di sini

14.02.2014 tarikh ‘keramat’ pilihan pasangan Cina

Advertisement

MIRI: Pertembungan di antara dua Hari Valentine daripada budaya timur dan barat pada 14 Februari tahun ini, iaitu tarikh yang jarang sekali berlaku dalam sejarah, dianggap keramat dan paling bertuah khususnya bagi pasangan yang ingin berkahwin.

Hari Valentine daripada budaya barat iaitu hari kasih sayang yang juga disifatkan oleh pasangan sebagai Hari Kekasih, bertembung dengan Chap Goh Mei yang juga disambut pada 14 Februari tahun ini.

Bagi yang bukan kaum Cina, ramai menganggap Chap Goh Mei adalah hari berakhirnya sambutan Tahun Baharu Cina, tetapi hakikat sebenarnya ia lebih daripada itu.

Chap Goh Mei bagi budaya timur khususnya kaum Cina juga merujuk kepada Hari Kekasih yang diraikan sempena bermulanya kalendar tahun baharu mereka.

“Ini bermakna pada 14 Februari ini kelak, masyarakat Cina akan meraikan dua hari kekasih, ‘Valentine Day’ yang diraikan oleh semua orang di seluruh dunia dan Chap Goh Mei iaitu ‘Valentine Day’ dalam kalendar masyarakat Cina,” kata jurucakap Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Miri (MCCCI).

Oleh yang demikian katanya pertembungan dua hari yang bermakna itu pada satu tarikh dan jarang sekali berlaku, merupakan ‘tarikh keramat’ yang dianggap membawa tuah, rezeki dan kebahagiaan, khususnya kepada pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga.

“Sehingga kini, kami MCCCI sudahpun menerima 16 permohonan daripada pasangan yang mendaftarkan nama mereka untuk berkahwin pada tarikh itu kelak,” ujarnya.

MCCCI katanya, bagaimanapun menjangkakan jumlah itu akan meningkat menjelang tarikh tersebut kelak.

Justeru bagi mengelak sebarang kesukaran dan kekalutan pada saat akhir, maka MCCCI menetapkan tarikh tutup bagi pendaftaran pasangan yang ingin berkahwin pada tarikh itu kelak ialah pada 24 Januari ini.

“Bagi pasangan yang berminat untuk berkahwin dan mendaftarkan perkahwinan pada tarikh tersebut di bangunan MCCCI di sini, perlulah mendapatkan borang dan seterusnya mengemukakan permohonan mereka terlebih dahulu di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk diluluskan,” katanya.

Pendaftaran kahwin di MCCCI hanya dibuka kepada masyarakat kaum Cina sahaja dan mereka yang berkahwin campur, iaitu salah seorang pasangannya adalah keturunan Cina.

“Memandangkan tarikh pertembungan dua Hari Kekasih (barat dan timur) ini amat jarang berlaku dan dalam kepercayaan Cina ia membawa tuah, maka kami mengalu-alukan pasangan yang ingin berkahwin supaya mendaftarkan nama mereka dan berbuat demikian sebelum 24 Januari ini, bagi memudahkan urusan dan perjalanan proses perkahwinan itu kelak,” ujarnya.

Bukan sahaja di MCCCI, bagi pasangan Cina yang beragama Kristian, tidak kurang juga yang turut memilih tarikh yang sama untuk mengadakan perkahwinan mereka di gereja-gereja di sekitar bandar raya ini.

Advertisement