Anda di sini

Skuad khas banteras judi haram

Advertisement

ERATKAN HUBUNGAN: Ahmad Zahid bersalaman dengan Datuk Mohamad Khalid Shariff (kanan) ketika menerima kunjungan Katua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang baharu itu di KDN di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

Kebanyakan mangsa kegiatan judi haram berpendapatan rendah

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mewujudkan skuad khas dari Bukit Aman untuk membanteras kegiatan judi haram di semua peringkat, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Beliau berkata kerjasama di peringkat balai polis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan  Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) akan dipertingkat untuk memerangi kegiatan judi haram sama ada secara konvensional atau online.

“Kebanyakan mangsa kegiatan judi haram terdiri daripada mereka yang berpendapatan rendah.  Sehubungan itu, kita akan membanteras judi haram habis-habisan di semua peringkat.

“Saya tahu tugas ini sukar tetapi ia tidak mustahil untuk lakukan kerana kita tidak mahu mereka yang berpendapatan rendah terus menjadi mangsa dalam kegiatan judi haram,” katanya dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri yang baharu Datuk Mohamad Khalid Shariff di sini semalam.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata PDRM akan meneruskan Ops Cantas Khas untuk membendung kegiatan kongsi gelap dan jenayah menggunakan senjata api di negara kerana ia “tiada tarikh tamat”.

Beliau berkata PDRM juga akan meningkatkan usaha dalam membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini.

“Pengedar sama ada bersindiket atau secara runcit masih berlaku secara berleluasa. Walaupun pencapaian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik cukup baik tetapi ia tidak mustahil untuk dipertingkatkan lagi untuk membanteras penyalahgunaan dadah,” katanya.

Selain memperkukuhkan Rakan Cop untuk mewujudkan pembabitan masyarakat umum, Ahmad Zahid berkata PDRM menyasarkan 25,000 anggota Pasukan Simpanan Sukarelawan Polis (PVR) dan 25,000 anggota polis bantuan untuk membantu polis bagi mendapatkan semula keyakinan masyarakat.

“Sehubungan itu, saya berharap KSU baharu yang mempunyai pengalaman luas dapat membantu KDN mewujudkan kesejahteraan dan keselamatan rakyat dan negara pada keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata KDN akan bekerjasama dengan persatuan-persatuan bank di Malaysia supaya gaji pekerja asing terus dikreditkan dalam akaun.

“Jika mereka mahu menghantar wang ke negara asal, ia mesti dilakukan melalui saluran perbankan sedia ada agar tidak melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).

“Kita akan menyediakan sistem online ‘transfer of fund’ supaya Bank Negara dapat memantau jumlah wang dihantar ke negara asal pekerja-pekerja asing”. — Bernama

Advertisement