Anda di sini

Sekolah ditutup ekoran banjir perlu adakan sekolah ganti

Advertisement

KUCHING: Kesemua sekolah yang ditutup ekoran banjir perlu mengadakan sekolah ganti selepas keadaan kembali pulih nanti.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata sekolah ganti perlu diadakan bagi memenuhi bilangan hari persekolahan yang mesti diikuti oleh setiap sekolah.

“Ini adalah peraturan daripada kementerian dan ia perlu diikuti oleh setiap sekolah termasuk yang terjejas ekoran banjir,” katanya kepada pemberita semalam.

Dalam pada itu setakat jam 3.00 petang semalam, sebanyak lima sekolah ditutup di negeri ini ekoran banjir berbanding enam sekolah yang dilaporkan setakat jam 8.00 pagi hari yang sama.

Berdasarkan laporan Unit Perhubungan Awam Jabatan Pendidikan Negeri setakat jam 3 petang semalam, lima sekolah tersebut membabitkan SK Kampung Klid/Plajau di Dalat, Mukah, SK Nanga Nirok di Kanowit serta SK Nanga Bon, SK Ulu Sungai Sengan dan SK Sungai Salim di Sibu.

Fatimah berkata, meskipun terdapat sekolah yang tidak dimasuki air namun sesi persekolahan terpaksa ditutup kerana didapati berbahaya kepada ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah.

“Kita berharap keadaan cuaca akan bertambah baik dan air tidak akan pasang tinggi kerana jika keadaan ini berterusan ia akan mengundang bencana banjir yang lebih besar,” ujarnya.

Dalam pada itu, sejak 20 Disember 2013 hingga semalam, sebanyak 137 kawasan terlibat dengan banjir membabitkan bahagian Miri, Sri Aman, Bintulu, Samarahan, Kuching, Betong, Sibu, Mukah dan Sarikei.

Sejumlah RM215,045 bantuan makanan telah disalurkan kepada kira-kira 3,798 keluarga melibatkan 21,164 ahli keluarga yang terjejas di seluruh Sarawak.

Advertisement