Anda di sini

Rakyat bijak nilai peranan, tanggungjawab PBB

Advertisement

SOKONG BN: Abdullah bersama tuai rumah selepas menyaksikan majlis penyertaan beramai-ramai dalam PBB di Rumah Anthony, Meradong semalam.

PBB terima 300 permohonan ahli baharu, kebanyakannya dari kubu kuat pembangkang

BINTANGOR: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bintangor menerima sebanyak 300 permohonan sebagai ahli baharu PBB semalam.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abdullah Saidol menyifatkan langkah ini sebagai satu petanda baik kerana kebanyakan ahli baharu terbabit adalah dari kawasan kubu kuat pembangkang.

“Berdasarkan situasi ini kita yakin masyarakat di sini sudah sedar akan usaha pembangkang memperkenalkan inisiatif Impian Sarawak sebagai ‘telur sebiji riuh sekampung,’ selain bermotifkan politik meraih undi masyarakat luar bandar.

“Umum sedia maklum tentang perancangan pembangkang diterajui DAP. Persoalannya, apakah itu satu kenyataan menunjukkan mereka benar-benar ikhlas membela kebajikan masyarakat luar bandar?

“Buat projek kecil tetapi kecoh satu kampung.

“Namun, apakah kita pernah dengar pembangkang buat perancangan komprehensif tentang hala tuju yang lebih jelas untuk pembangunan Bumiputera Sarawak?

“Apakah kita pernah dengar mereka bercakap tentang pembangunan modal insan, isu sosioekonomi atau pendidikan,” katanya ketika mengulas kenyataan DAP selepas menyaksikan majlis penyerahan 300 borang keahlian PBB daripada sembilan tuai rumah di Rumah Anthony Sungai Rayah, di sini, semalam.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop menegaskan, Barisan Nasional (BN) mempunyai perancangan pembangunan lebih tersusun dan bersifat jangka panjang.

Pengerusi DAP Negeri Chong Chieng Jen berkata, Impian Sarawak yang diperkenalkan oleh mereka bermatlamat memastikan BN tidak mempersia-siakan pengundi luar bandar dan memainkan peranan sebagai kerajaan yang memerintah dengan memperbaiki infrastruktur asas.

Bagaimanapun kata Abdullah, ia hanya sebahagian usaha pembangkang melebarkan pengaruh mereka ke pedalaman.

Menurutnya, pada pilihan raya lalu DAP memenangi semua kawasan bandar yang sudah dilengkapi dengan kemudahan asas.

Begitupun katanya, pembangkang bukan sahaja tidak pernah bersyukur malah ‘mendabik dada’ tanpa menyedari ia sebenarnya hasil usaha kerajaan BN sebelum ini.

“Kita bukan wakil rakyat yang cari jalan berlubang, ambil gambar, tunjuk dalam akhbar kemudian salahkan kerajaan.

“BN tidak menjanjikan keajaiban apatah lagi sesuatu yang tidak mampu untuk dilaksanakan.

“Bagaimanapun, apa yang kita janjikan ialah kesungguhan, kerajinan dan keazaman tinggi untuk membela rakyat.

“Ia dapat dilihat melalui komitmen bersungguh-sungguh kita memperkenal SCORE.

“Kerajaan juga mengatur pelbagai inisiatif menggalakkan penyertaan golongan muda dalam pendidikan teknikal sebagai usaha membina modal insan selaras dengan kewujudan projek mega.

“Kita tubuhkan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS). Semua usaha dilaksanakan dengan perancangan teliti.

“Silapnya masih ada yang kurang mendapat maklumat.

“Bahkan, ada pula yang percaya dengan dongengan pembangkang kononnya mereka mempunyai perancangan lebih baik daripada BN,” jelasnya.

Sebagai jalan penyelesaian, beliau mahu kerajaan melalui agensi berkaitan termasuk semua wakil rakyat BN Sarawak lebih proaktif supaya maklumat dapat diterima oleh masyarakat di peringkat akar umbi.

“Saya juga mengharapkan kerajaan persekutuan menyalurkan lebih peruntukan untuk membangunkan luar bandar Sarawak.

“Jangan berlengah dan cuba elak masalah birokrasi yang boleh menyebabkan rakyat kecewa,” katanya.

Sehubungan itu, Abdullah berkata penyertaan beramai-ramai itu membuktikan rakyat semakin bijak menilai peranan dan tanggungjawab PBB sebagai parti politik terulung dalam komponen BN yang  meneraju pentadbiran negeri.

“Impian Sarawak, yang arogan dan megah dilaungkan DAP hanya mengelirukan dan manipulasi minda masyarakat luar bandar.

“Mereka seolah-olah buntu untuk menawan rakyat desa yang sememangnya penyokong setia BN,” katanya.

Permohonan sebagai ahli baharu yang diterima itu adalah terdiri daripada penduduk Rumah Ujit Lenggoh, Rentap Berasap, Anthony Merang, Nyambang Manjar, Ikuk, Linggang, Sakn dan Mawan.

Majlis itu turut dihadiri Pegawai JASA Bahagian Sarikei Ahmat Adai, Timbalan Ketua Cawangan PBB Meradong Morsili Bakar, Ketua Pemuda Meradong Helmi Morsili dan Penghulu Agustine Pau.

 

Advertisement