Anda di sini

Polis PP selamatkan 10 warga Myanmar dijadikan tebusan

Advertisement

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan 10 lelaki termasuk dua kanak-kanak warga Myanmar yang diseludup masuk oleh satu sindiket yang menjadikan mereka tebusan sebelum mendapatkan wang daripada keluarga mereka.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kesemua mereka yang berusia lapan hingga 22 tahun itu diselamatkan polis yang melakukan serbuan di sebuah rumah di Simpang Ampat, Nibong Tebal dekat sini pada kira-kira jam 8 malam, Sabtu lepas.

“Hasil maklumat awam dan risikan, polis menyerbu sebuah rumah dan didapati berkunci dengan mangga sebelum terpaksa memotongnya.

“Hasil pemeriksaan polis menemui tiga lelaki dewasa dan masing-masing lima remaja serta dua kanak-kanak lelaki bergelimpangan dalam keadaan tidak bermaya dan tidak terurus dalam sebuah bilik di rumah berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Katanya polis turut menahan sepasang suami isteri berumur 35 dan 21 tahun yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) serta dua anak perempuan mereka berusia lapan tahun dan tiga hari.

“Pasangan suami isteri itu dipercayai ejen kepada sindiket berkenaan dan rumah sewa mereka dijadikan markas untuk sembunyikan warga asing sebelum keluarga membayar wang tebusan,” katanya.

Abdul Rahim berkata hasil siasatan mendapati semua warga Myanmar itu diseludup masuk dari Thailand melalui sempadan Padang Besar, Perlis dan telah diserahkan oleh seorang lelaki kepada anggota sindiket sebelum dibawa ke rumah di Simpang Ampat berkenaan.

“Sepuluh warga Myanmar yang diselamatkan itu telah dikurung di rumah sewa pasangan tersebut lebih seminggu dan sedang menunggu untuk ditebus oleh keluarga mereka. Wang bayaran yang dikenakan antara RM4,000 hingga RM6,000,” katanya. — Bernama

Beliau berkata polis turut merampas wang tunai RM1,000, lima telefon bimbit, slip resit penerimaan bayaran wang tebusan dari Myanmar, buku catatan kegiatan penyeludupan migran dan sekeping kad ATM dalam serbuan itu.

Katanya usaha mengesan dalang dan anggota sindiket itu giat dijalankan dan polis percaya mereka menjalankan kegiatan itu sejak beberapa bulan lepas.

“Semua mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 26H Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya. — Bernama

Advertisement