Anda di sini

Perkhidmatan percubaan bas elektrik di Melaka esok

Advertisement

MAJLIS PELANCARAN: Idris menunjukkan isyarat bagus pada majlis Pelancaran Bas Elektrik di Seri Negeri Ayer Keroh di Melaka, semalam. — Gambar Bernama

MELAKA: Melaka akan memulakan perkhidmatan percubaan bas elektrik di Bandar Hilir selama tiga bulan bermula esok, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata tiada sebarang bayaran dikenakan sepanjang tempoh percubaan sebagai promosi kepada pengguna di samping untuk mengkaji laluan paling sesuai serta kadar tambang berpatutan.

Katanya bas yang beroperasi di bawah anak syarikat kerajaan negeri Panorama Melaka Sdn Bhd akan melalui kawasan bersejarah dan tarikan pelancong di Bandar Hilir seperti Bangunan Stadhuys, Dataran Pahlawan, Bukit Senjuang, Mahkota Parade dan Kota Laksamana.

“Apabila kita dapat laluan yang sesuai, kita terus tentukan berapa unit bas yang kita akan gunakan di masa depan. Buat masa ini kita mula dengan sebuah dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas memandu uji bas tersebut di Seri Negeri di sini semalam.

Idris berkata bas yang mengguna pakai teknologi hijau daripada China itu boleh bergerak sejauh 300 kilometer sebelum perlu dicas semula serta ia boleh memuatkan maksimum 60 penumpang pada satu-satu masa.

Ia berharga RM1.35 juta sebuah, katanya.

“Kerajaan negeri juga akan mewujudkan polisi yang mana kenderaan yang menggunakan teknologi hijau akan dibenarkan merentasi kawasan warisan terutamanya di hadapan Kota Porte de Santiago (A-Famosa) dan juga bangunan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan,” kata beliau.

Sementara itu beliau berkata perkhidmatan anggota majlis kerajaan tempatan tidak akan dilanjutkan tahun hadapan sekiranya mereka gagal menghadiri mesyuarat.

“Mereka tidak akan dilantik semula jika tidak hadir sebanyak dua kali tanpa sebab yang munasabah pada mesyuarat penuh dan empat kali pada mesyuarat kecil,” katanya.

Idris berkata tiada wakil daripada MCA dilantik sebagai anggota majlis atas permintaan presiden parti itu Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai.

Terdahulu seramai 100 anggota dari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah,

Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Majlis Perbandaran Jasin mengangkat sumpah dan menerima pelantikan baharu. — Bernama

Advertisement