Anda di sini

Pemilik syarikat barang lusuh dan pekerja ditahan bantu siasatan kes samun

Advertisement

GEORGE TOWN: Polis menahan pemilik syarikat barang lusuh dan pekerjanya bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang pemandu lori nyaris dibakar hidup-hidup dalam kejadian samun di Taman Tambun Emas, Nibong Tebal tiga hari lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata mereka yang berusia 29 dan 42 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar Nibong Tebal malam kelmarin.

“Susulan kejadian itu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengesan mereka yang terlibat dalam kejadian itu dan hasilnya polis berjaya menahan dua lelaki bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata polis juga mengenal pasti seorang lagi pekerja syarikat berkenaan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata motif kejadian adalah berpunca dari persaingan perniagaan.

“Dua lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 395/397 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” tambahnya.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa yang berusia 49 tahun dalam perjalanan pulang ke tempat kerjanya di Butterworth selepas mengambil besi di sebuah kilang di Batu Kawan.

Pemandu itu yang memandu berseorangan berhenti di persimpangan lampu isyarat berhampiran tol Bukit Tambun sebelum dua lelaki menunggang motosikal berhenti di sebelahnya dan secara tiba-tiba salah seorang daripada mereka masuk ke dalam lorinya.

Lelaki itu yang bersenjatakan pisau mengacunya sebelum mengarahkan pemandu berkenaan memandu ke Taman Tambun Emas. — Bernama

Sementara itu Abdul Rahim berkata polis tidak pernah berhenti daripada memburu dan mengesan dua tahanan yang sehingga sekarang masih bebas.

Mereka ialah Hamzani Harun, 37, dan Hisham Abdul Rahman, 39, yang lolos ketika dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth, walaupun telah hampir setahun kejadian itu berlaku.

Beliau berkata pihaknya percaya mereka masih berada di dalam negara.

“Kita percaya mereka berpindah dari satu tempat ke tempat lain bagi mengelak daripada dikesan dan saya minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.

Abdul Rahim berkata pihaknya juga membuat pemeriksaan di rumah dan lokasi yang selalu dikunjungi dua tahanan terbabit.

“Jangan ingat polis tidak berbuat apa-apa. Kita sentiasa bekerja untuk mengesan mereka kerana dua tahanan itu merupakan orang yang dikehendaki polis,” katanya.

Dalam kejadian jam 9 pagi pada 7 Jan tahun lepas itu, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri setelah merampas van polis yang membawa mereka selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.

Dua daripada mereka berjaya diberkas semula berhampiran van itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi iaitu Mohd Fairuz Adam, 31, dan Mohd Noor Mustafa, 28, ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam tiga hari selepas kejadian itu.

Dua hari kemudian polis menahan Mohd Farid Akhtar, 24, ketika meminta makanan di sebuah kedai makan di Kampung Petani, Kubang Semang dan Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, pula menyerah diri di Pasar Awam Penanti manakala Mohd Khairulnizam Abdul Rani, 26, ditahan di sebuah kafe Internet di Berapit, Bukit Mertajam. — Bernama

Advertisement