Anda di sini

Peladang terselamat hukuman gantung kerana tidak siuman

Advertisement

ALOR SETAR: Seorang peladang yang menghadapi tuduhan mengedar kanabis seberat 112.37kg terselamat daripada hukuman gantung sampai mati setelah Mahkamah Tinggi Alor Setar mendapati dia tidak siuman ketika melakukan perbuatan itu tiga tahun lepas.

Bagaimanapun Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab memerintahkan Suzlan Yusoff, 48, dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak sehingga mendapat perkenan Sultan Kedah.

Mengikut pertuduhan, Suzlan dituduh mengedar kanabis seberat 112.37kg di belakang sebuah rumah beralamat nombor 171, Ladang Sungai Batu 1, Bujang, Bedong, Kuala Muda kira-kira jam 6.15 petang, 30 Mei 2011.

Bapa enam anak itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum menurut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata mahkamah pada 29 Julai tahun lepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

“Polis yang menyerbu sebuah rumah telah menahan tertuduh. Saksi pendakwaan (anggota polis) bertanya ada apa-apa dadah berbahaya dan tertuduh mengangguk lalu membawa polis ke stor berhampiran dan menemui dadah,” katanya.

Pihak pembelaan sebaliknya memanggil seorang pakar psikiatri dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan yang mengesahkan tertuduh tidak siuman ketika melakukan perbuatan itu.

“Setelah menimbang segala keterangan, saya mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan pembelaan tertuduh tidak siuman pada masa kejadian.

Tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” kata Mohd Zaki.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Nor Hasnita Wan Daud mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Naran Singh. — Bernama

Advertisement