Anda di sini

PAS gesa majlis fatwa keluarkan ketetapan

Advertisement

Kebenaran penggunaan kalimah ‘Allah’ bercanggah bagi Sabah dan Sarawak: Mahfuz

KUALA LUMPUR: PAS semalam menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan ketetapan mengenai isu penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi seluruh negara kerana terdapat percanggahan mengenai kebenaran penggunaan kalimah itu bagi Sabah dan Sarawak.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, rakyat negara ini keliru kerana terdapat pengecualian bagi penganut Kristian di Sabah dan Sarawak untuk menggunakan kalimah Allah dalam upacara keagamaan mereka manakala penganut Kristian di Selangor pula dilarang menggunakan kalimah itu.

“Sekarang ini ada dua pendapat (iaitu) pihak berkuasa agama di Selangor kata tak betul dan tak boleh guna (kalimah Allah), tetapi orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak boleh.

“Jadi sekarang ini orang nak tahu mana satu pendirian yang betul dan selari dengan kehendak agama Islam,” katanya kepada sidang media di ibu pejabat PAS di sini semalam.

Beliau berkata adalah penting bagi Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan ketetapan mengenai isu itu bagi mengelakkan persepsi negatif rakyat Malaysia terhadap Islam.

Ditanya mengenai pendirian PAS, Mahfuz berkata, parti itu masih berpegang kepada keputusan Majlis Syuranya iaitu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian adalah dibenarkan selagi mereka tidak menyalahgunakan kalimah itu.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-82 pada 2008 memutuskan bahawa Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam.

“Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan majlis itu dalam laman webnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober tahun lepas berkata, keputusan Mahkamah Rayuan untuk tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian tidak terpakai untuk Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, di SHAH ALAM (Selangor), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Hishammuddin Hussein Onn (H20) membuat laporan polis membantah kenyataan pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew, bahawa gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya.

Pengerusi H20 Ahmad Suhairi Ahmad Hariri berkata laporan itu juga dibuat kerana mendakwa kenyataan Andrew telah membelakangi titah Sultan Selangor yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam di negeri ini.

“Kami menyokong larangan penggunaan kalimah Allah seperti yang dititahkan Sultan Selangor dan berikutan itu, kami menggesa Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar mengambil langkah proaktif bagi memantau penggunaan kalimah Allah di semua gereja negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Pada 27 Dis lepas, Andrew berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan bahasa Malaysia meskipun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menghantar notis peringatan berhubung larangan pengunaan kalimah itu oleh bukan Islam.

Pada November lepas, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua rakyat di Selangor perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam seperti termaktub dalam Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988. — Bernama

Advertisement