Anda di sini

Malaysia terbaik di Asia Tenggara

Advertisement

TERBAIK: Penyerang negara, Ashri Chuchu (kiri) bersama rakan sepasukan Harimau Muda meraikan kemenangan selepas menewaskan Vietnam 2-1 pada perlawanan akhir peringkat kumpulan Sukan SEA Myanmar ke-27. — Gambar Bernama

Pasukan Harimau Malaya mempunyai peluang layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015: Subahan

KUALA LUMPUR: Malaysia boleh dianggap antara pasukan bola sepak terbaik di Asia Tenggara kerana merupakan satu-satunya negara di rantau ini yang masih mempunyai peluang layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015.

Menyangkal dakwaan standard bola sepak negara merosot, pengurus pasukan Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata kedudukan Malaysia dalam kempen Piala Asia 2015 adalah lebih baik berbanding Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Beliau berkata keempat-empat negara itu tidak mempunyai peluang untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2015 selepas menduduki tangga tercorot dalam kumpulan masing-masing di peringkat pusingan kelayakan.

“Walaupun pintu ke pusingan akhir belum tertutup, kita masih ada peluang dan akan berusaha keras untuk menang ke atas Yaman nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran pameran siri penjelajahan trofi Piala Dunia FIFA 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini kelmarin.

Harimau Malaya, di bawah bimbingan jurulatih sementara Datuk Ong Kim Swee, kini menduduki tangga ketiga dalam Kumpulan D dengan mengumpul empat mata selepas lima perlawanan.

Malaysia akan mengakhiri pusingan kelayakan dengan menentang Yaman pada 5 Mac depan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Dalam saingan kelayakan Piala Asia 2015, sebanyak 20 negara dibahagikan kepada lima kumpulan dengan dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan layak ke pusingan akhir di Australia dari 9 hingga 31 Januari 2015.

Selain itu, tiga lagi antara pasukan terbaik keseluruhan di tangga ketiga kumpulan akan mengiringi juara Piala Cabaran AFC 2014 ke pusingan akhir.

Selain Malaysia, pasukan yang menduduki tangga ketiga dalam setiap kumpulan setakat ini ialah Syria dalam Kumpulan A dengan empat mata, Lubnan (B-5 mata), Iraq (C-6 mata) dan Hong Kong dengan empat mata dalam Kumpulan E.

Sebanyak 16 pasukan akan berentap pada pusingan akhir Piala Asia 2015 di lima bandar raya Australia iaitu Sydney, Melbourne, Brisbane, Canberra dan Newcastle.

Undian pusingan akhir Piala Asia 2015 akan diadakan di Sydney pada 26 Mac ini.

Dalam perkembangan lain, Subahan, yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berkata jurulatih baharu skuad Harimau Malaya akan dilantik akhir bulan ini selepas kontrak bekas pengendalinya, Datuk K. Rajagobal berakhir 31 Disember lalu.

Bagaimanapun, katanya, Kim Swee masih perlu memainkan peranan dengan memberi input tentang pemain yang diserap ke skuad Harimau Malaya daripada skuad Harimau Muda A.

Beliau berkata FAM kini telah menyenarai pendek lima jurulatih iaitu tiga jurulatih asing dan dua jurulatih tempatan bagi menggantikan tempat Rajagobal.

Senarai itu, menurut Subahan, kini berada dalam pertimbangan Presiden FAM Sultan Ahmad Shah dan exco tertinggi badan itu. — Bernama

Advertisement