Anda di sini

Isu sensitiviti agama boleh diselesai secara perbincangan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Insiden serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Persatuan Bible Malaysia (PBM) baru-baru tidak seharusnya berlaku kerana ia boleh mengeruhkan keadaan perpaduan antara kaum dan agama, kata Pengerusi Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) Tan Sri Samsudin Osman.

Katanya MKPN percaya isu membabitkan sensitiviti agama Islam yang hangat diperdebatkan ketika ini boleh diselesaikan dengan kaedah perbincangan tanpa mencemarkan agenda perpaduan nasional.

“MKPN kesal dengan serbuan tersebut dan menggesa kerajaan mematuhi resolusi penyelesaian 10 perkara yang dicapai bersama kumpulan-kumpulan Kristian di negara ini pada April 2011,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pertama MKPN di sini semalam.

Penubuhan MKPN diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 November lalu, sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan perpaduan kaum terus teguh.

Antara ahli MKPN yang hadir adalah Ahli Lembaga Pengarah Sisters in Islam (SiS) Datin Paduka Marina Mahathir, Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dan selebriti Wardina Safiyyah.

Samsudin berkata MKPN menggesa kerajaan  mematuhi resolusi penyelesaian 10 perkara yang dicapai bersama kumpulan-kumpulan Kristian di negara ini pada April 2011.

“Itu antara 10 penyelesaian daripada ahli-ahli MKPN dalam mesyuarat hari ini berhubung isu kalimah Allah, serbuan JAIS dan demonstrasi aman di Selangor,” katanya sambil menambah usul penyelesaian ini akan dibawa ke pengetahuan kerajaan secepat mungkin.

Beliau berkata tindakan serbuan JAIS itu jelas melanggar kandungan resolusi Penyelesaian 10 Perkara yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala pada 2011, yang mana Putrajaya akan mengizinkan pengimportan Alkitab dalam semua bahasa, termasuk terjemahan Bahasa Malaysia/Indonesia.

Samsudin berkata antara penyelesaian lain adalah pihaknya akan mengadakan perbincangan tertutup dengan pemimpin agama, pihak berkuasa dan kumpulan berkaitan secepat mungkin.

Pada insiden Khamis lepas, JAIS menyerbu pejabat PBM di Damansara Kim  dan merampas 300 Bible versi Bahasa Malaysia dan Iban sebagai usaha membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen 1988.

Samsudin berkata tugas MKPN ketika ini adalah mengadakan dialog perpaduan di seluruh negara bersama masyarakat bagi mendapatkan maklum balas tentang perpaduan negara sebelum dibentangkan kepada kerajaan dalam tempoh enam bulan.

“Sasaran kita adalah apa yang diharapkan kerajaan iaitu menyediakan rangka tindakan untuk perpaduan. Kita akan berusaha memenuhi apa yang diminta Perdana Menteri (sediakan laporan),” katanya. — Bernama

Advertisement