Anda di sini

Bekas penjawat awam ditahan miliki pistol, senapang dan peluru

Advertisement

DIRAMPAS: Para media merakam gambar beberapa laras senapang buatan sendiri, pistol, beberapa butir peluru dan sepasang gari yang dirampas semasa sidang akhbar mengenai rampasan senjata-senjata berkenaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di George Town, semalam. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan seorang bekas penjawat awam dan merampas pelbagai senjata api serta peluru dalam serbuan di sebuah rumah di Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, Sabtu lepas.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata lelaki berusia 53 tahun itu ditahan dalam operasi jam 3 petang hasil maklumat awam.

“Hasil pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan, polis menemui sepucuk pistol jenis Beretta bersama kelopak berisi 11 butir peluru, pistol tiruan, tiga laras senapang angin buatan sendiri dan selaras senapang patah buatan sendiri.

“Selain itu kita turut menemui satu beg yang berisi satu kelopak tanpa peluru, enam butir peluru 12 bore warna biru, tujuh butir peluru 7.62 dan sebutir peluru 9mm, sepasang gari dan sebotol ‘ball bearing’,” katanya dalam sidang media, di sini semalam.

Katanya hasil siasatan mendapati lelaki yang mempunyai lima rekod jenayah lampau termasuk atas kesalahan sama, tidak mempunyai lesen senjata api.

“Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu mengaku memiliki pistol dan senapang berkenaan untuk simpanan peribadinya, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Abdul Rahim berkata pihaknya juga telah mengenal pasti empat lelaki tempatan yang membekal pistol dan senapang berkenaan kepada suspek dan polis sedang giat mengesan mereka.

Beliau berkata lelaki itu yang turut positif dadah kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Kes itu disiasat menurut Seksyen 36 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 7 Akta Senjata Api 1970 kerana berdagang senjata api, memiliki senjata api tiruan dan memiliki peluru,” katanya.

Bernama difahamkan lelaki itu pernah bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Umum 2008. — Bernama

Advertisement