Anda di sini

Bandar Sibu sedia terima pelancong: Wong

Advertisement

TANDA INGATAN: Lim (tiga kiri) menyampaikan cenderamata kepada Wong pada Majlis Penutupan Pesta Makanan Penjaja 2013 di Sibu, malam kelmarin.

Sibu mempunyai tempat-tempat menarik, giat merancang program berkaitan pelancongan

SIBU: Bandar ini bersedia menerima pelancong pada Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, kata Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh.

Menurutnya, Sibu turut mempunyai tempat-tempat menarik untuk dilawati dan kini giat merancang beberapa program berkaitan pelancongan pada tahun ini.

“Kita di Sibu tidak hanya bergantung kepada kepelbagaian makanan masyarakat majmuk di sini, kerana percaya kita berpotensi sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik atas faktor kedudukan berada di kawasan wilayah tengah.

“Justeru, kita bersedia dengan apa juga program pelancongan yang bakal disenaraikan di sini dan berhasrat mahu menarik lebih banyak pelancong datang ke Sibu,” katanya pada Majlis Penutupan Pesta Makanan Penjaja 2013 di Dataran Bandar Sibu Fasa II, malam kelmarin.

Hadir sama Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Tiong Thai King, Pengerusi Persatuan Penjaja Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan Penjaja Peniaga Kecil Malaysia Kapitan Lim Sin Khee, Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Pesta Makanan Penjaja 2013 merangkap Pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Sentral Sibu Yiing Chung Ming serta tetamu lain.

Pesta itu dicadangkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia, Gabungan Persatuan Penjaja/Peniaga Kecil Malaysia, Persatuan Penjaja Sarawak dan dianjurkan oleh Persatuan Penjaja Pasar Sentral Sibu.

Pesta yang berlangsung dari 13 Disember hingga 5 Januari itu menyaksikan sebanyak 150 gerai mengambil bahagian dengan menjual pelbagai jenis makanan tempatan.

Selain menjual pelbagai jenis makanan, turut diadakan pesta ria serta pentas hiburan yang dihiburkan oleh pelbagai artis popular Iban bagi memeriahkan karnival tersebut pada kali ini di venue yang sama.

Wong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat berharap bagi menjayakan TMM 2014, sektor swasta dapat membantu pembangunan sektor pelancongan di sini dengan bersama- sama mengambil bahagian.

“Kerajaan sudah semestinya memberi sokongan terhadap apa juga program pelancongan yang dilaksanakan.

“Ini adalah satu usaha bagi meningkatkan bilangan pelancong ke Sibu.

“Jika ramai pelancong datang maka ekonomi penduduk setempat berkembang, begitu juga dengan ekonomi negara,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kanan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan turut menyentuh mengenai karnival tersebut yang dianggap perlu dianjurkan pada setiap tahun dalam usaha menarik ramai orang luar datang ke Sibu.

Menurutnya, karnival makanan bukanlah sebuah pesta rakyat tetapi ia adalah peluang untuk menyaksikan sendiri keunikan makanan daripada suku kaum tertentu.

“Diharap melalui karnival ini nama Sarawak khususnya Sibu dikenali ramai kerana faktor berbilang kaum menjulang nama negeri ini ke arah sebuah destinasi pelancongan makanan utama negara,” tambahnya.

Bercakap mengenai TMM 2014, Wong memberitahu, ia telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 19 Disember lalu dengan menekankan setiap rakyat negara ini harus memainkan peranan sebagai tuan rumah untuk mengalualukan kedatangan pelancong.

“Ini juga diperlihatkan sebagai satu landasan untuk memupuk semangat patriotisme di kalangan generasi muda negara.

“Dengan bertemakan ‘Celebrating 1Malaysia, Truly Asia’, kita harus menonjolkan kemesraan layanan berpandukan keharmonian hidup masyarakat majmuk serta ketenteraman negara yang dinikmati kepada pengunjung dari seluruh dunia agar mereka dapat memperkenalkan keunikan negara kita ini kepada orang lain setelah meninggalkan Malaysia,” katanya.

Advertisement